ROME: Italy menjadi negara pertama dalam Kesatuan Eropah mencatat lebih 30,000 kematian berkait koronavirus.
Ia melaporkan sejumlah 243 kes kematian baharu semalam - lebih rendah berbanding 274 sehari sebelum ini - menjadikan keseluruhan kes kematian mencecah 30,201.
Jumlah harian kes baharu juga jatuh sedikit kepada 1,327, menjadikan jumlah keseluruhan 217,185 kes.
Sekatan telah mula dilonggarkan di negara itu, tetapi seorang doktor di bandar Milan menyifatkan ia sebagai "bom jangka", menurut media tempatan.
Italy secara rasminya punya kadar ketiga tertinggi kematian di dunia, selepas Amerika Syarikat dan United Kingdom (meliputi Scotland, Wales, England dan Ireland Utara).
Britain melepasi jumlah 30,000 kematian pada Rabu lalu.
Sepanyok merupakan negara ketiga paling teruk terjejas di Eropah dengan lebih 26,000 kematian. - Agensi


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg