Covid-19: Korea Selatan longgar peraturan jarak selamat mulai 1 Julai
Covid-19: Korea Selatan longgar peraturan jarak selamat mulai 1 Julai
SEOUL: Korea Selatan akan melonggarkan sekatan undang-undang jarak selamat dengan membolehkan perhimpunan privet penduduk sehingga enam orang dalam sebuah kumpulan di kawasan utama Seoul mulai 1 Julai.
Had ini ditambah dari empat orang kini, lapor agensi berita Reuters pada Ahad (20 Jun).
Pengumuman ini dibuat pada waktu Korea Selatan sudah menjalankan vaksinasi ke atas 29.2 peratus penduduknya sehingga Sabtu, lantas berada dalam landasan memenuhi sasaran mencapai kadar vaksinasi 70 peratus menjelang September.
Jangkitan harian baru bagaimanapun berada dalam lingkungan antara 400 hingga 700 kes sejak beberapa minggu lalu tetapi kekal pada paras di bawah 600 kes buat tempoh lebih dari seminggu sejauh ini.
Di bawah semakan undang-undang ini, restoran, lokasi hiburan malam dan kafe dibenarkan buka hingga 12 tengah malam, berbanding 10 malam buat masa ini.
"Sistem jarak selamat baru ini adalah usaha mencari keseimbangan antara kuarantin dengan pemulihan hidup seharian dalam keadaan pandemik Covid-19 yang berlanjutan," kata Menteri Kesihatan, Encik Kwon Deok-cheol dalam satu taklimat yang disiarkan di televisyen.
Kecuali jika jangkitan harian meningkat secara mendadak dengan banyak, pemerintah merancang memperluas had perhimpunan kepada lapan orang di kawasan pusat bandar Seoul mulai 15 Julai, jelas Encik Kwon.
Bagi mereka di luar kawasan bandar Seoul, tiada sekatan dikenakan buat bilangan orang dalam sesebuah perhimpunan privet.
Korea Selatan melaporkan 429 kes jangkitan baru menjelang tengah malam Sabtu, menjadikan keseluruhan kes di negara ini mencecah 151,149 kes, tambah Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea.
Angka kematian di negara ini pula ialah 2,002 kes. - Reuters

