Subuh
5:29
Syuruk
6:52
Zuhur
12:55
Asar
4:18
Maghrib
6:55
Isyak
8:09
Halal Food Map
Turn on your location  and discover halal restaurants near you.
Dunia0

Covid-19: M'sia boleh bebas jangkitan tanpa vaksin

Jun 08, 2020 | 09:15 AM

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh memutuskan kadar jangkitan COVID-19 tanpa penggunaan vaksin sebaliknya dilakukan dengan pematuhan tinggi rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ini berdasarkan pengalaman beberapa negara berdepan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) sebelum ini.

Katanya, ketika ini tempoh diperlukan iaitu sekurang-kurangnya setahun atau lebih untuk menghasilkan vaksin yang sesuai. 

"Ada kemungkinan tanpa menggunakan vaksin kalau kita semua patuh kepada SOP dan saranan kesihatan, kita boleh memutuskan COVID-19 tanpa vaksin.

"(Jangkitan) SARS juga tanpa vaksin tapi kita boleh putuskan jangkitan. Kita juga boleh putuskan MERS-CoV," katanya pada sidang media harian COVID-19, hari ini.

Beliau berkata, jika ada vaksin terhasil ia lebih baik, namun jika sebaliknya kaedah kesihatan awam adalah cara terbaik dan ia memerlukan komitmen semua rakyat.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, jika rakyat Malaysia dapat memastikan kes jangkitan kekal antara satu atau dua angka, kerajaan sudah boleh merancang untuk strategi keluar (exit strategy) daripada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila tempohnya tamat pada penghujung Ogos nanti.

Beliau berkata, biarpun lebih banyak sektor kini dibuka dengan bermulanya PKPP pada 10 Jun ini, pemantauan dan pengawasan serta aktiviti pengesanan tetap dilaksanakan sehingga 31 Ogos ini.

Katanya, berdasarkan kepada data sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijalankan lebih sebulan lalu, tiada kes meningkat secara mendadak dikesan.

"Kes jangkitan masih lagi dua dan satu angka, dan rakyat Malaysia yang terbabit juga tidak ramai, hampir mencecah satu angka.

"Jadi kalau dalam tempoh sekarang, 10 Jun hingga 31 Ogos kita masih memantau, masih menjalankan pengawasan dan aktiviti pengesanan.

"Jika ada jangkitan dalam satu lokaliti dan kumpulan sasar, kita akan melaksanakan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran dan kita akan saring semua penghuni untuk mengesan mereka yang positif," katanya. - BHM

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian