Topik diikuti
Pergi ke BHkuCovid-19: M'sia catat paras rekod tertinggi 13,215 kes
Covid-19: M'sia catat paras rekod tertinggi 13,215 kes
KUALA LUMPUR: Kes baru Covid-19 di Malaysia sekali lagi mencapai angka tertinggi semalam dengan 13,215 kes.
Ia merupakan hari ketiga berturut-turut kes baru mencatat rekod tertinggi dan melepasi lima angka.
Selangor mencatat kes tertinggi dengan 6,120, diikuti Negeri Sembilan (1,603), Kuala Lumpur (1,499), Kedah (695), Johor (599) dan Pulau Pinang (509).
Sehingga semalam, jumlah kes di Malaysia mencapai 880,782, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia di Twitter.
Pada Rabu lalu Malaysia mencatat 11,618 kes, dan sehari sebelumnya mencatat 11,079 kes.
Rekod harian tiga hari berturut-turut dicatatkan sedang Malaysia masih di bawah perintah sekatan di seluruh negara sejak 1 Jun lalu, dalam usaha memerangi penularan jangkitan koronavirus itu.
Rekod harian sebelumnya adalah 9,353 kes pada 10 Julai lalu.
Selain itu, hospital di Malaysia terus dibebani dengan peningkatan jumlah pesakit Covid-19.
Media sosial dipenuhi dengan gambar hospital, pusat kuarantin, dan pusat penilaian Covid-19 (CAC) di Lembah Klang yang penuh sesak.
Sebilangan hotel yang sebelumnya digunakan sebagai pusat kuarantin bagi mereka yang tiba dari luar negeri, kini juga digunakan sebagai pusat kuarantin dan rawatan buat pesakit Covid-19 berisiko rendah, yang digolongkan sebagai kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (ringan gejala).
Beberapa hotel di Lembah Klang telah diubah menjadi pusat kuarantin bagi golongan pesakit tersebut, termasuk Saujana Subang dan Royale Chulan Kuala Lumpur, lapor Reuters.
Sementara itu, Kabinet Malaysia, termasuk kesemua sembilan menteri daripada Umno, telah bersetuju memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri untuk memimpin negara itu dalam memerangi wabak Covid-19 yang semakin teruk.
Keputusan jemaah menteri itu dinyatakan dalam satu kenyataan kelmarin bahawa setiap keputusan kerajaan akan diputuskan oleh Kabinet secara kolektif setelah mengambil kira pandangan semua orang, lapor media tempatan.
"Keutamaan kerajaan adalah memastikan kejayaan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) untuk memastikan keharmonian dan kemakmuran, dan membawa Malaysia keluar dari pandemik Covid-19," kata kenyataan pendek itu selepas satu mesyuarat mingguan Kabinet.
Sokongan menteri daripada Umno amat penting buat Encik Muhyiddin, yang telah menangguhkan sidang parlimen sejak Disember lalu.
Umno menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berusia 15 bulan pada tahun lalu, tetapi majlis tertinggi Umno minggu lalu memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin.
Keputusan terbaru sembilan menteri Umno tersebut bermakna mereka mengabaikan keputusan majlis tertinggi Umno yang dipimpin presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggambarkan isyarat jelas mengenai perpecahan mendalam dalam parti nasionalis Melayu itu.
Malaysia mempunyai 32 menteri penuh termasuk Tan Sri Muhyiddin yang berasal dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mempunyai 31 Anggota Parlimen (AP).
Umno adalah parti terbesar dalam PN dengan 38 AP.
Presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid, pada 8 Julai lalu memberitahu sidang media bahawa partinya menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin, seperti yang dipersetujui majlis tertinggi Umno, dan menuntut pengunduran beliau.
Datuk Ahmad Zahid mengatakan perdana menteri itu telah gagal dalam usaha negara menentang Covid-19. - Agensi berita.
