NEW DELHI - Sepuluh warga asing yang melanggar larangan pergerakan koronavirus di sebuah bandar India yang dipopularkan oleh kugiran Beatles, dipaksa menulis "Saya mohon maaf" sebanyak 500 kali, kata pegawai pada Ahad (12 April).
Perintah sekatan pergerakan di seluruh negara dikenakan pada akhir Mac, dengan penduduk hanya dibenarkan meninggalkan kediaman mereka untuk perkhidmatan penting seperti membeli barangan keperluan dan ubatan.
Pelancong tersebut - dari Israel, Mexico, Australia dan Austria - ditangkap berjalan-jalan di Rishikesh, lokasi yang dipopularkan Beatles pada 1968.
Pegawai polis tempatan Vinod Sharma berkata lebih 700 pelancong asing dari Amerika Syarikat, Australia, Mexico dan Israel yang tinggal di kawasan itu telah melanggar larangan, sambil menambah hukuman luar biasa itu dikenakan sebagai satu pengajaran. AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg