Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Covid-19 sebabkan kerugian persekolahan kanak-kanak di serata dunia: Unicef

Jan 26, 2022 | 5:30 AM
TURUT TERJEJAS: Negara kaya juga tidak terkecuali dengan kerugian pembelajaran telah dilihat di Amerika Syarikat seperti di beberapa negeri termasuk Texas, California dan Maryland. - Foto AFP
TURUT TERJEJAS: Negara kaya juga tidak terkecuali dengan kerugian pembelajaran telah dilihat di Amerika Syarikat seperti di beberapa negeri termasuk Texas, California dan Maryland. - Foto AFP -

NEW YORK: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menyatakan penutupan sekolah akibat pandemik Covid-19 telah menyebabkan kerugian "hampir tidak dapat diatasi" dalam pendidikan di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia.

Dianggarkan lebih 616 juta pelajar masih terjejas akibat penutupan sekolah sepenuhnya atau sebahagiannya, kata agensi kanak-kanak PBB itu.

Di banyak negara, di samping merampas peluang jutaan kanak-kanak untuk memperoleh kemahiran asas, gangguan itu juga telah menjejas kesihatan mental pelajar.

Ini meletakkan mereka pada risiko lebih besar bagi kes deraan dan menghalang ramai daripada mendapat akses kepada "sumber pemakanan asas dan tetap," tambah Unicef.

"Secara ringkasnya, kita sedang melihat kepada skala kerugian yang hampir tidak dapat diatasi terhadap persekolahan kanak-kanak," kata Ketua Pendidikan Unicef, Encik Robert Jenkins, dalam satu kenyataan, dua tahun selepas wabak Covid-19 menular ke seluruh dunia.

Dan "membuka semula sekolah sahaja tidak mencukupi," tambahnya sambil menyeru "sokongan intensif untuk memulihkan pendidikan yang hilang".

Unicef melaporkan bahawa "kerugian pembelajaran akibat penutupan sekolah telah menyebabkan sehingga 70 peratus kanak-kanak berumur 10 tahun tidak dapat membaca atau memahami teks mudah, meningkat daripada 53 peratus sebelum pandemik" di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Di Habsyah, sebagai contoh, kanak-kanak hanya belajar "antara 30 hingga 40 peratus daripada matematik yang mereka akan pelajari jika ia adalah tahun sekolah biasa" di sekolah rendah, agensi PBB itu menganggarkan.

Negara kaya juga tidak terkecuali.

Di Amerika Syarikat, kerugian pembelajaran telah dilihat di beberapa negeri termasuk Texas, California dan Maryland, kata Unicef.

Keciciran sekolah juga menjadi masalah di Afrika Selatan dengan antara 400,000 dengan 500,000 pelajar "dilaporkan berhenti sekolah sama sekali antara Mac 2020 dan Julai 2021".

Akhir sekali, sebagai tambahan kepada tahap kebimbangan dan kemurungan dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda yang dikaitkan dengan wabak itu, penutupan sekolah juga bermakna lebih 370 juta kanak-kanak di seluruh dunia tidak mendapat makanan sekolah - kehilangan apa yang ada pada sesetengah kanak-kanak satu-satunya sumber harian makanan yang boleh dipercayai. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg