BANGKOK: Sebilangan langkah sekatan berkaitan Covid-19 mula dilonggarkan di ibu kota Thailand, Bangkok, mulai semalam.

Pasar raya dan kedai serbaneka di Bangkok, yang sebelumnya dibenarkan beroperasi antara 11 malam hingga 4 pagi, kini boleh dibuka sepanjang waktu.

Kolam renang, taman sains, pusat pameran seni dan budaya serta perpustakaan dan stadium diizinkan dibuka semula, menurut satu kenyataan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA).

Namun, sebarang pertemuan melebihi 50 orang di tempat tersebut perlu mendapat keizinan terlebih dahulu daripada BMA.

Bangkok mencatat 836 kes baru Covid-19 kelmarin, membentuk lebih 25 peratus daripada 3,682 kes harian yang dilaporkan di peringkat nasional.

Menyusul kadar pemberian vaksin yang lebih cepat, BMA sebelumnya mengizinkan taman, salon kecantikan, spa dan kedai urut dibuka semula, dengan restoran dibenarkan menampung pelanggan untuk makan di kedai makan bagi tempoh lebih lama dan menerima lebih banyak pelanggan.

Hingga Sabtu lalu, Thailand telah memberi lebih 7.5 juta dos vaksin kepada warganya. Hampir 3 peratus penduduknya telah diberi vaksinasi penuh, menurut World in Data, sementara 4.8 peratus diberi sekurang-kurangnya 1 dos suntikan.

Thailand mahu memvaksinasi sekitar 70 peratus penduduknya menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, rancangan kerajaan Thailand mahu membuka semula pulau peranginan Phuket menjelang bulan depan bagi pengunjung yang telah divaksinasi - tidak perlu dikenakan kuarantin - telah mendapat sambutan kurang hangat, dengan tempahan hotel menunjukkan kadar huni kurang 20 peratus sejauh ini.

Inisiatif 'Phuket Sandbox' yang bermula 1 Julai ini membolehkan pergerakan bebas di pulau itu bagi pengunjung yang diberi vaksinasi penuh terhadap Covid-19, tanpa sebarang pengasingan semasa tiba di pulau itu.

Mereka akan diberi lampu hijau melakukan perjalanan ke tempat lain di Thailand setelah tempoh 14 hari.

Namun ada beberapa syarat rumit juga, dan banyak karyawan industri mengeluh bahawa ketidakpastian dan perubahan aturan yang sering berlaku menghalang tempahan pelancong.

Butir inisiatif tersebut tidak akan dimuktamadkan menjelang hujung bulan ini.

"Ini akan menjadi proses yang perlahan. Tidak satu pun daripada kami mengharapkan kadar huni 100 peratus pada 2 Julai," kata Encik Anthony Lark, presiden Persatuan Hotel Phuket.

Syarikat penerbangan Thai Airways yang turut menyertai inisiatif itu, dengan penerbangan langsung dari enam kota Eropah ke Phuket mulai Julai, menjangka hanya sebahagian kecil kerusi pesawat terisi, dengan sekitar 100 penumpang pada minggu pertama, kata seorang pegawai syarikat itu.

Thailand kehilangan sekitar AS$50 bilion ($67 bilion) dalam pendapatan pelancongan tahun lalu apabila kedatangan pelancong asing turun 83 peratus kepada 6.7 juta, daripada rekod 39.9 juta pelancong pada 2019. - Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti