WASHINGTON: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat telah melonggarkan saranan perjalanan bagi lebih 110 negara dan wilayah - mengalihkan Singapura ke tahap paling selamat - selain menyemak panduan mengenai Jepun menjelang Sukan Olimpik.
Pemeringkatan baru CDC, yang disiarkan di laman webnya Isnin lalu, termasuk menurunkan 61 negara daripada peringkat tertinggi, iaitu Tahap 4, yang tidak menggalak semua jenis perjalanan ke tempat-tempat itu.
Sebanyak 50 negara dan wilayah diturunkan ke Tahap 2 atau Tahap 1, kata jurucakap CDC Selasa lalu.
Garis panduan itu mengesyorkan semua pelancong ke mana-mana destinasi mendapat suntikan vaksin sepenuhnya terlebih dahulu.
Pemeringkatan Tahap 3 menyarankan semua individu yang tidak divaksinasi supaya tidak melakukan perjalanan tidak penting ke negara tersebut.
Tahap 2 bermakna individu tidak divaksinasi yang berisiko meningkat bagi penyakit teruk daripada Covid-19 harus mengelakkan perjalanan tidak penting ke negara itu.
Bagi Tahap 1 - pemeringkatan bagi negara dianggap paling selamat untuk perjalanan - sesiapa sahaja yang telah mendapat vaksin sepenuhnya boleh pergi ke negara itu.
Negara yang berada di peringkat paling rendah bagi risiko Covid-19 sekarang termasuk Singapura, Israel, Korea Selatan, Iceland, Belize dan Albania.
Antara negara yang sekarang disenaraikan dalam Tahap 3 ialah Perancis, Ecuador, Filipina, Malaysia, Afrika Selatan, Canada, Mexico, Russia, Sepanyol, Switzerland, Turkey, Ukraine, Honduras, Hungary dan Italy.
Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika mengatakan ia sedang dalam proses mengkaji semula nasihat perjalanannya bagi mencerminkan semakan CDC itu.
Seawal Selasa lalu, Jabatan Negara menurunkan pemeringkatannya bagi lebih 90 negara dan wilayah, termasuk Jepun.
Pada 24 Mei, jabatan itu menggesa rakyat Amerika jangan melakukan perjalanan ke Jepun, dengan alasan adanya gelombang baru jangkitan koronavirus sebelum Olimpik Tokyo, yang dijadual bermula 23 Julai.
Amaran Jabatan Negara itu menimbulkan kebimbangan dan mendorong Rumah Putih menegaskan semula sokongannya terhadap rancangan Tokyo mengadakan Olimpik dan bagi atlet Amerika bertanding di sana, walaupun terdapat gelombang jangkitan baru dan kadar vaksinasi rendah di negara tuan rumah itu.
CDC mengatakan semua perubahan itu dilakukan setelah ia menyemak kriteria bagi pemberitahuan kesihatan perjalanan.
Pusat itu mengatakan ia juga telah menyemak pemeringkatannya bagi Amerika ke Tahap 3 daripada Tahap 4.
Agensi itu menambah bahawa banyak negara mempunyai pemeringkatan lebih rendah "kerana perubahan kriteria itu atau kerana wabak dikendali dengan lebih baik".
Ia juag menyatakan bahawa lebih banyak negara dijangka mendapat pemeringkatan lebih baik pada masa depan. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg