AMSTERDAM/BRUSSELS: Vaksin untuk mengatasi Covid-19 mungkin dapat diluluskan dalam jangka masa sekitar setahun bersandarkan senario optimistik, kata agensi yang meluluskan perubatan untuk Kesatuan Eropah semalam (14 Mei).
Ketika dunia sedang bergegas untuk menyediakan vaksin, Kesatuan Eropah, yang terjejas terus akibat Covid-19, bimbang ia mungkin tidak mempunyai bekalan yang mencukupi, terutama jika vaksin dihasilkan di Amerika Syarikat atau China.
Agensi Perubatan Eropah (EMA), yang sedang bekerjasama dengan 33 pemaju, melakukan segala yang mungkin untuk mempercepat proses persetujuan, menurut ketua vaksin EMA, Marco Cavaleri.
Agensi berkenaan bagaimanapun mempunyai keraguan mengenai laporan bahawa terdapat vaksin yang akan disediakan pada September depan.
"Untuk vaksin, sejak pembangunannya harus bermula dari awal...kita mungkin perlu lihat dari sudut optimis dalam setahun dari sekarang, jadi mungkin awal 2021," katanya kepada wartawan dalam telesidang.
Sementara itu, agensi Kesatuan Eropah (EU) yang berpusat di Amsterdam, Belanda itu memandang rendah kebimbangan yang dizahirkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa wabak itu mungkin tidak akan terus hilang.
"Saya berpendapat masih terlalu awal untuk berkata sedemikian namun kita perlu ada alasan baik untuk cukup optimis bahawa beberapa vaksin akan berjaya dihasilkan.
"Saya mungkin akan terkejut seandainya di penghujung hari kita tidak menemui vaksin untuk merawat COVID-19," kata Cavaleri. - Reuters, AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg