HAVANA: Cuba menjadi negara pertama di dunia yang memberi vaksin kepada kanak-kanak dari usia dua tahun terhadap Covid-19, menggunakan vaksin negara itu sendiri yang belum diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Negara pulau dengan jumlah 11.2 juta orang itu mahu menyuntik kanak-kanak sebelum sekolah dibuka semula setelah ditutup pada sebahagian besar tempoh sejak Mac 2020.
Tahun persekolahan baru bermula kelmarin tetapi dari rumah melalui program televisyen, memandangkan kebanyakan rumah di Cuba tidak mempunyai akses internet.
Selepas menyelesaikan ujian klinikal pada kanak-kanak di bawah umur dengan vaksin Abdala dan Soberana, Cuba memulakan kempen inokulasi buat kanak-kanak pada Jumaat lalu, bermula dengan mereka yang berumur 12 tahun ke atas.
Kelmarin, ia mula memberi vaksin pada kumpulan umur 2-11 tahun di wilayah tengah Cienfuegos.
Beberapa negara lain di dunia memvaksinasi kanak-kanak dari usia 12 tahun, dan ada negara yang sedang melakukan ujian pada kanak-kanak lebih muda.
Negara seperti China, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Venezuela telah mengumumkan mereka merancang mahu memvaksinasi kanak-kanak lebih muda, tetapi Cuba adalah yang pertama melakukannya.
Chile pada hari Isnin lalu meluluskan vaksin Sinovac China buat kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun.
Vaksin Cuba, yang pertama dibangunkan di Amerika Latin, tidak menjalani kajian rakan sejawat dan antarabangsa.
Ia berdasarkan pada teknologi protein rekombinan - sama yang digunakan oleh Novavax Amerika Syarikat dan Sanofi Perancis, juga menunggu kelulusan WHO.
Tidak seperti kebanyakan suntikan lain yang digunakan, vaksin rekombinan tidak memerlukan penyejukan yang tinggi.
Majoriti sekolah di Cuba ditutup sejak Mac 2020, dibuka semula selama beberapa minggu pada akhir tahun lalu sebelum ditutup lagi pada Januari.
Pemerintah telah mengumumkan sekolah akan dibuka secara beransur-ansur, pada Oktober dan November, tetapi hanya setelah semua kanak-kanak diberi vaksin.
Agensi PBB Unicef meminta sekolah di seluruh dunia untuk dibuka semula secepat mungkin, kerana "kos penutupan jangka panjang terlalu tinggi dan sukar untuk diwajarkan".
Cuba telah mencatat kenaikan besar jangkitan koronavirus dalam beberapa bulan lalu, yang memberi tekanan pada sistem kesihatannya.
Daripada 5,700 kematian Covid-19 yang dicatat sejak wabak itu bermula, hampir separuh berlaku pada bulan lalu sahaja. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg