Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Dana $11.9b diikrar, bantu Pakistan pulih dari banjir

Jan 15, 2023 | 05:30 AM



GENEVA: Pakistan menerima ikrar bantuan sejumlah lebih AS$9 bilion ($11.9 bilion) untuk membantunya pulih daripada bencana banjir tahun lalu, sambil berikrar menjadi model bagaimana negara boleh membina daya tahan perubahan iklim.



Pakistan masih terjejas akibat banjir besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang telah menenggelamkan kawasan besar negara itu dan membunuh lebih 1,700 orang, manakala lebih 33 juta yang lain masih terus merasai kesannya.



"Kami mungkin negara pertama yang menyaksikan satu pertiga kawasan negara kami ditenggelami air," kata Menteri Luar Pakistan, Encik Bilawal Bhutto Zardari, kepada AFP pada akhir sidang antarabangsa di Geneva baru-baru ini dalam usaha mencari sokongan bagi pemulihan banjir negaranya.



"Malangnya, kami bukan yang terakhir."



Beliau menyuarakan harapan bahawa "kejayaan yang memberangsangkan" dalam sidang itu, dengan negaranya mendapat lebih banyak ikrar daripada yang diharapkan, dapat "memberi templat bagi negara pada masa depan yang mendapati diri mereka dalam kesusahan".



Pakistan, dengan bilangan penduduk kelima terbesar di dunia, menjana kurang 1 peratus pelepasan gas rumah hijau global tetapi merupakan salah satu negara yang paling terdedah kepada cuaca ekstrem yang disebabkan pemanasan global.



Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menggesa "pelaburan besar-besaran" untuk membantu Pakistan pulih daripada monsun yang begitu dahsyat.



"Negara-negara di barisan depan krisis iklim memerlukan sokongan besar-besaran," kata Encik Guterres, manakala Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, memberi amaran negaranya "berlumba dengan masa" untuk menangani keperluan rakyat yang melonjak.



"Kami perlu mengembalikan masa depan 33 juta orang," kata Encik Sharif.



BENCANA NGERI



Rangka kerja Pemulihan dan Pembinaan Semula Berdaya Tahan, yang dibentangkan Pakistan pada persidangan tajaan PBB itu, memerlukan AS$16.3 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang dalam usaha awal untuk membina semula dan meningkatkan keupayaan Pakistan menangani kejutan iklim masa depan.



Pakistan berkata ia boleh menampung separuh kos itu, tetapi merayu kepada masyarakat antarabangsa agar membiayai selebihnya.



Pada akhirnya, ia menerima lebih AS$9 bilion dalam bentuk ikrar, termasuk janji 360 juta euro ($515 juta) daripada Perancis dan A$100 juta dalam pembiayaan tambahan daripada Washington dan Beijing.



Selain itu, Bank Dunia dan pelbagai bank pembangunan serantau menjanjikan pinjaman berbilion dolar.



"Kami telah melepasi sasaran kami sendiri bagi persidangan ini," kata Encik Bhutto Zardari, namun menegaskan pihaknya memerlukan lebih banyak dana lagi.



Menyifatkan banjir sebagai "bencana ngeri", beliau berkata Pakistan, bagaimanapun, telah menemui "peluang dalam krisis ini".



"Sekarang kita boleh melabur dalam prasarana di... kawasan yang paling kurang maju, kawasan yang paling kurang berkemampuan, (yang) akan membolehkan kami mengembangkan ekonomi tempatan kami," ujarnya.



BENCANA BUATAN MANUSIA



Tetapi negara itu masih menghadapi cabaran besar.



Ketua PBB itu memberi amaran bahawa selain terjejas teruk oleh perubahan iklim, "Pakistan juga menjadi mangsa bencana buatan manusia dari segi sistem kewangan global yang muflis secara moral".



"Sistem yang menafikan pelepasan hutang negara berpendapatan sederhana dan pembiayaan konsesi untuk melabur dalam daya tahan dan pemulihan. Ini mesti berubah," tegas Encik Guterres.



Encik Sharif, dalam pada itu, memberitahu wartawan bahawa beliau telah meminta Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) supaya menghentikan tuntutannya bagi pembaharuan ekonomi sebagai pertukaran untuk mendapatkan lebih banyak bantuan.



Sementara itu, Encik Guterres juga berkata kes Pakistan membuktikan keperluan bagi dana "kerugian dan kerosakan", yang dipersetujui pada sidang puncak Perubahan Iklim PBB 2022 (COP27) pada November lalu, yang membantu menampung kemusnahan berkaitan iklim yang dialami negara-negara membangun.



"Jika terdapat sebarang keraguan tentang kerugian dan kerosakan, pergi ke Pakistan," katanya.



"Keadaan di sana jelas menunjukkan kesan bahaya apabila kita tidak bertindak untuk menghentikan pemanasan global.



"Hari ini Pakistan. Esok mungkin negara anda," kata Encik Guterres. - AFP.




"Kami mungkin negara pertama yang menyaksikan satu pertiga kawasan negara kami ditenggelami air.
Malangnya, kami bukan yang terakhir.
Kami telah melepasi sasaran kami sendiri bagi persidangan ini.
Sekarang kita boleh melabur dalam prasarana di... kawasan yang paling kurang maju, kawasan yang paling kurang berkemampuan, (yang) akan membolehkan kami mengembangkan ekonomi tempatan kami."
- Menteri Luar Pakistan, Encik Bilawal Bhutto Zardari.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >