Topic followed successfully
Go to BHkuDana persaraan M'sia: Bantu sara hidup sekarang atau untuk hari tua...
Dana persaraan M'sia: Bantu sara hidup sekarang atau untuk hari tua...
Dana persaraan M'sia: Bantu sara hidup sekarang atau untuk hari tua...
SEMASA pandemik Covid-19, Cik Norhayati Yahaya tidak mempunyai pendapatan tetap selepas kehilangan pekerjaan dan keputusan membenarkan simpanan hari tua melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) banyak membantunya sekeluarga meneruskan kehidupan.
Pengeluaran melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra mengurangkan bebanan beliau yang perlu membayar ansuran bulanan pinjaman rumah, kereta dan pinjaman peribadi lain selain perbelanjaan keperluan harian.
Namun kini keadaan ekonomi semakin pulih, dan beliau sudah mempunyai pekerjaan tetap bagi membolehkan keadaan kewangannya semakin stabil untuk membayar balik semua pinjaman mengikut jadual.
Cik Norhayati, yang tinggal di Petaling Jaya, tidak ada lagi keperluan untuk mengeluarkan simpanan hari tua tersebut yang kini menjadi isu hangat diperdebat di media sosial di Malaysia selain menjadi modal ceramah politik di pentas yang tidak sehaluan dengan kerajaan.
Dua warga M'sia kongsi pentingnya ada simpanan wang mencukupi
Anak muda, Encik Faridz Jamil, yang bekerja di sebuah bank antarabangsa, bagaimanapun tidak bersetuju dengan desakan berbagai pihak supaya kerajaan membenarkan pengeluaran buat kali terakhir itu kerana dalam jangka panjang akan merugikan pencarum apabila tiba masa wajib mengeluarkan simpanan mereka.
Beliau, yang berusia 31 tahun, tidak dapat membayangkan sekiranya seseorang itu dalam golongan B40 mengeluarkan RM10,000 ($2,993) simpanannya, berapa tahunkah lagi dapat menampung jumlah pengeluaran itu sekali gus akan menyebabkannya hanya berbaki kecil apabila bersara nanti.
"Anak muda seperti saya yang bekerja tidak sampai 10 tahun, simpanan tidak banyak. Jadi sekiranya saya mengambil jalan mudah mengeluarkan simpanan yang kecil itu seolah-olah saya 'menjerat' diri saya sendiri berbelanja hari ini tetapi bila tua nanti terkapai-kapai masih bekerja bagi menampung kehidupan.
"Berdasarkan kepada pengalaman saya sendiri ada rakan yang tidak mempunyai masalah kewangan semasa Covid-19 lepas mengambil peluang yang dibenarkan oleh kerajaan untuk mengeluarkan simpanan untuk melabur di tempat lain selain ada yang berbelanja sakan," menurutnya.
Oleh itu, Encik Faridz menyokong keputusan kerajaan yang mengambil keputusan tidak popular bagi menjaga simpanan hari tua pencarum dan pada masa yang sama menyuntik dana RM500 juta ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain mengadakan berbagai program bagi membantu rakyat miskin tanpa mereka mengeluarkan wang KWSP.
"Kenapa pintu yang rapat berkunci dibuka untuk orang masuk. Apabila mereka yang masuk itu sudah selesa sudah tentu mereka mahu masuk lagi," kata Encik Nadzim Nadzmi, 42 tahun, mengaitkan kenyataannya itu dengan keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan KWSP semasa Covid-19.
Encik Nadzim, yang pernah mempunyai syarikat penyediaan makanan dan mencarum ke KWSP, tidak setuju dengan keputusan kerajaan ketika itu kerana membenarkan simpanan hari tua dikeluarkan sebelum usia 55 tahun atau 60 tahun.
Katanya, kerajaan mengambil jalan mudah apabila menggunakan simpanan hari tua rakyat bagi menyelesaikan masalah kekangan kewangan rakyat tanpa mengeluarkan satu sen untuk membantu.
"Kalau kita lihat di Amerika Syarikat atau negara Eropah, pemerintah memberi berbagai bantuan kewangan kepada rakyatnya serta pelajar asing yang belajar di negara itu semasa Covid-19.
"Lain pula kita di sini, rakyat digalak keluarkan duit simpanan KWSP untuk menampung kehidupan harian mereka dan selepas tiga kali pengeluaran kini kita dibangkitkan lagi dengan pengeluaran keempat," tambahnya.
Beliau yang mengakui menghadapi masalah kewangan bertekad tidak akan mengeluarkan simpanan KWSP kerana tidak mahu jumlahnya terjejas apabila sampai masanya untuk dikeluarkan.
Melalui Belanjawan 2023, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan tidak ada lagi pengeluaran simpanan KWSP seperti yang didesak golongan pencarum tertentu.
Perdana Menteri menjelaskan, dividen bagi pencarum daripada golongan miskin dan pertengahan akan berkurangan jika kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP bagi mereka yang kaya serta berkemampuan.
Beliau menegaskan, jika kerajaan bersetuju dengan langkah populis membenarkan pengeluaran KWSP, golongan miskin dan pertengahan yang akhirnya akan menanggung kerugian.
Menurut statistik terbaru median simpanan 8.1 juta ahli KWSP membabitkan semua kaum direkod menurun 50 peratus iaitu daripada RM16,600 pada 2016 kepada RM8,100 pada 2022.
Ia susulan pengeluaran RM145 bilion daripada dana simpanan KWSP ketika negara berdepan pandemik Covid-19. Pengeluaran sama juga menyebabkan median simpanan 7 juta ahli Melayu di KWSP menurun kepada RM5,500 ketika ini berbanding RM16,900 pada 2020.
Bagi pencarum Bumiputera lain, median simpanan 1.4 juta ahli sebelum pengeluaran direkodkan adalah RM10,600 dan kini hanya tinggal RM3,300 sahaja.

