KEADAAN darurat di Malaysia bakal berakhir sekitar sebulan lagi, atau 1 Ogos ini, sejak diisytiharkan pada 11 Januari lalu.
Matlamatnya, untuk memerangi pandemik Covid-19 yang telah meragut nyawa lebih ramai orang dalam tempoh dua bulan sebelum pengisytiharan itu berbanding tempoh 10 bulan pertama tahun lalu.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah memperkenankan permohonan kerajaan Malaysia pada ketika itu dengan pendapat koronavirus itu berada pada tahap kritikal dan terdapat keperluan mengisytiharkan darurat bagi membendung penularan wabak itu.
Namun kes harian Covid-19 telah meningkat daripada 2,232 pada 11 Januari, kepada 5,293 pada 20 Jun dan berada pada tahap 4,000-an dan 5,000-an kes pada hari-hari kemudiannya.
Apakah ini bermakna darurat itu dilihat gagal dalam memerangi wabak Covid-19?
IMPAK DARURAT
Dari segi bilangan kes, ia mungkin tampak kurang berjaya walaupun diakui bahawa beberapa varian virus yang baru, termasuk varian lebih berjangkit dan bahaya, memainkan peranan dalam peningkatan kes bukan sahaja di Malaysia, bahkan di Singapura dan sebilangan negara lain serata dunia.
Dihubungi Berita Harian (BH), Profesor Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah berkata pada awal proklamasi darurat, ramai menaruh harapan tinggi langkah itu dapat mengawal penularan Covid-19.
"Ramai melihatnya sebagai langkah yang memperketat lagi peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP) sedia ada, namun setelah beberapa bulan terutamanya dengan peningkatan mendadak jumlah kes Covid-19, ramai kecewa," ujarnya.
Profesor Azmi Hassan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, dalam aspek lain darurat itu dapat menghindarkan tiga pilihan raya kecil yang sepatutnya diadakan - satu di Perak dan dua di Sabah - selain melengahkan pilihan raya negeri di Sarawak dengan tempoh kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) itu tamat pada 6 Jun lalu.
Ini sekali gus mencegah sebarang risiko penularan Covid-19 jika pilihan raya itu diadakan dalam tempoh sekarang, katanya.
"Darurat itu dapat mengurangkan 'politicking' (kegiatan politik) yang selalunya berlaku semasa pilihan raya. Daripada kegiatan politik ini, seperti yang berlaku semasa pilihan raya Sabah pada September tahun lalu, ia telah memberi kesan serius kepada penularan Covid-19. Ini satu kebaikan pelaksanaan darurat ini," jelasnya.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya bersependapat bahawa proklamasi darurat dapat mengelakkan pilihan raya, sekali gus mencegah risiko penularan akibat kegiatan pilihan raya yang melibatkan ramai orang berkumpul dan menjadi acara perebak utama (super-spreader).
"Namun, walaupun darurat dilaksanakan, kes jangkitan Covid-19 masih berada pada tahap tinggi. Ini bermakna darurat masih gagal mengekang penularan wabak," ujarnya.
PARLIMEN TERJEJAS
Cuma, pelaksanaan darurat turut dilihat sebagai mengekang demokrasi parlimen di Malaysia, sedang kerajaan belum mahu membuka sidang Parlimen.
Dalam hal ini, Profesor Azmi berkata memandangkan darurat itu disertakan dengan penggantungan Parlimen, ia dilihat sebagai sesuatu yang tidak baik dan menimbulkan banyak tanggapan salah.
"Ini sehingga Agong, Majlis Raja-Raja dan sebilangan rakyat mahu darurat itu tidak dilanjutkan apabila tempohnya tamat (1 Ogos) kerana tanggapan yang ada amat negatif sekali.
"Pada pendapat saya, sebenarnya kuasa yang ada pada Akta Penyakit Berjangkit sudah mencukupi. Selama ini kita lihat akta itu sudahpun berkesan dalam menangani wabak itu termasuk dalam mengenakan PKP yang boleh dilakukan menerusi akta tersebut," jelas beliau.
Profesor Madya Dr Awang Azman berkata kesan terhadap demokrasi Parlimen terjejas apabila Parlimen belum dibuka walaupun Agong pernah bertitah agar Parlimen boleh bersidang ketika darurat.
"Apabila darurat diumum di seluruh negara, negeri dengan kes kecil turut dikenakan sekatan dan menjejas produktiviti ekonomi rakyat secara menyeluruh. Kesannya terhadap negara adalah besar apabila kadar pengangguran, kemiskinan, pendapatan semakin terjejas dan tidak baik bagi pembangunan negara.
"PKP secara bersasar lebih berkesan daripada darurat seluruh negara kerana tidak menjejas produktiviti di tempat lain," ujarnya.
PERANAN KERAJAAN/RAKYAT
Namun, selain peranan penting kerajaan dalam memerangi penularan Covid-19, rakyat turut memainkan peranan besar.
Dalam perkara ini, Profesor Lee menarik perhatian bahawa virus itu memerlukan orang untuk merebak.
"Maknanya, rakyat yang bertanggungjawab menyumbang pada peningkatan mendadak kes pandemik Covid19 di seluruh negara.
"Ramai menyalahkan kerajaan malah mempolitiknya dengan #KerajaanGagal tetapi kita perlu merenung hal ini dengan lebih teliti sama ada ini tanggungjawab kerajaan sepenuhnya atau rakyat juga bertanggungjawab.
"Saya percaya majoriti rakyat Malaysia memberi kerjasama sepenuhnya mematuhi SOP tetapi ada segelintir kecil menjadi perosak dan menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.
"Mereka tidak mematuhi perintah kuarantin, bergerak ke sana sini, beranggapan diri mereka tidak mungkin menjadi individu malang yang dijangkiti Covid-19. Akhirnya, orang seperti ini menjadi perebak utama kepada ahli keluarga, sahabat handai dan tempat awam yang mereka kunjungi," ujarnya penuh kesal.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun lalu, Agong bersama-sama Raja-Raja negeri menzahirkan pandangan bahawa tidak wujud keperluan Perisytiharan Darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos.
Dengan kenyataan itu, tempoh darurat dijangka tidak dilanjutkan dan perhatian beralih kepada bagaimana kerajaan dan rakyat Malaysia mengharungi wabak Covid-19.
Walaupun angka kes telah merosot sekitar separuh daripada puncaknya, penularan masih terus berleluasa dengan kes sporadik, atau tidak terkait dengan kes sebelumnya, kekal tinggi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg