BEIJING: Dasar sifar Covid-19 China yang semakin ekstrem kian menghalang pemulihan sepenuhnya industri perkapalan dan melanjutkan krisis yang menjejas operasi pelabuhan dan mengosongkan stok barangan di seluruh dunia.
Dalam usahanya membendung wabak koronavirus, China terus melarang pertukaran anak kapal buat pelaut asing, dan baru-baru ini mengenakan kuarantin mandatori tujuh minggu bagi pelaut China yang pulang ke tanah air.
Malah, kapal yang menggantikan anak kapal mereka di tempat lain juga perlu menunggu dua minggu sebelum mereka dibenarkan memasuki pelabuhan di China.
Untuk mematuhi peraturan China itu, pemilik dan pengurus kapal terpaksa mengalihkan laluan kapal, menangguhkan penghantaran dan perubahan anak kapal, yang kesemuanya menambahkan krisis rantaian bekalan.
"Sekatan China menyebabkan kesan ke atas operasi lain," kata Encik Guy Platten, setiausaha agung Dewan Perkapalan Antarabangsa, yang mewakili pemilik dan pengendali kapal.
"Sebarang sekatan terhadap operasi kapal mempunyai kesan terkumpul pada rantaian bekalan dan menyebabkan gangguan sebenar."
Pengeksport terbesar dunia, China adalah hab utama bagi industri perkapalan. Ia juga negara terakhir yang masih mengamalkan dasar sifar Covid- 19, dengan langkah yang kian radikal.
Baru-baru ini, Beijing mengurung 34,000 orang di taman bertema Shanghai Disneyland bagi menjalani ujian mandatori, dan satu sekolah di Beijing pula menahan murid sekolah rendah semalaman selepas seorang guru disahkan positif.
Di seluruh dunia, kilang, perkapalan dan pengguna masih menyesuaikan diri dengan wabak yang dijangka tidak akan hilang.
Isu kekurangan bekalan menunjukkan tanda-tanda berkurangan di Amerika Syarikat tetapi semakin teruk di Britain.
Beberapa pelabuhan di Asia semakin kurang sesak, tetapi di California, banyak kapal masih berlabuh di situ.
Pihak pengurus dan pengendali kapal meminta China melonggarkan sekatannya dan mengutamakan pelaut dan perkapalan, atau menghadapi risiko gangguan berterusan yang semakin mendalam.
Sekatan terkini di pelabuhan China turut menyasarkan anak kapal China - memerlukan mereka dikuarantin selama tiga minggu sebelum pulang ke China, kemudian dua minggu lagi di pelabuhan ketibaan, dan dua minggu lagi di wilayah mereka sebelum mereka boleh bertemu dengan keluarga mereka, menurut Encik Terence Zhao, pengarah urusan Singhai Marine Services.
"China adalah isu utama," kata Encik Bjorn Hojgaard, ketua pegawai eksekutif pengurus kapal Anglo-Eastern Univan Group dan pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Hong Kong.
"Mereka melakukan tugas yang baik dalam membendung Covid-19 tetapi dengan tindakan tidak membenarkan pelaut masuk - malah pelaut China sendiri yang kadangkala tidak dapat kembali ke China." - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg