PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor, isteri mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pagi Rabu (3 Oktober).
Diiringi beberapa kakitangan SPRM, Datin Rosmah, yang memakai baru kurung dan selendang hijau masuk ke lobi bangunan itu, menurut Berita Harian Malaysia dalam laporannya.
Lebih awal dari itu, peguam Datin Rosmah, Datuk K Kumaraendran dilihat memasuki bangunan itu.
Menurut laporan Berita Harian Malaysia itu, Datin Rosmah sedang disoal siasat berhubung syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan pengubahan wang haram.
Ini kali ketiga Datin Rosmah hadir memberi keterangan di sini dan difahamkan, adalah kali terakhir Rosmah dipanggil untuk memberi keterangan sebelum dihadapkan ke mahkamah terhadap beberapa pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.
Pada 26 September lalu, Rosmah memberi keterangan kepada SPRM hampir 13 jam.
Beliau dipanggil bagi membolehkan siasatan selanjutnya dilakukan berhubung lebih 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan kes pengubahan wang haram.