JAKARTA (Indonesia): Perbezaan antara gabenor Jakarta, Encik Joko Widodo (Jokowi) dan pencabarnya, Encik Prabowo Subianto begitu ketara dipertontonkan apabila dua calon Pemilihan Presiden bertemu lagi bagi pusingan kedua perbahasan televisyen, kali ini tanpa calon naib presiden masing-masing.
Topik mereka: Pembangunan Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial - isu yang dekat dengan 186 juta pengundi selain syarikat berbilang negara yang beroperasi di ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara.
Encik Joko atau Jokowi, berucapa terlebih dahulu dan berkongsi harapan dan aspirasi rakyat Indonesia biasa yang ditemuinya sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Beliau menceritakan bagaimana seorang tukang cuci wanita dari Manado, nelayan dari Belawan dekat Medan, petani dari Jawa Tengah dan guru di Jawa Barat yang memberitahunya bagaimana mereka inginkan jenis pembangunan ekonomi yang dapat membaiki kesejateraan hidup mereka. Encik Jokowi memberi jaminan bahawa pertumbuhan ekonomi negara itu akan dikongsi secara saksama.
Sebagai perbandingan, Encik Prabowo, mantan panglima Komando Pasukan Khusus (Kopassus), membincangkan secara langsung cabaran yang perlu ditangani selain menggariskan apa yang dilihatnya sebagai punca utama masalah yang membelenggu ekonomi - dan bagaimana Pemerintah mampu menampung belanjawan bagi semua program yang dijanjikan, seperti pendidikan percuma dan penjagaan kesihatan?
Beliau juga berjanji membaiki "pembocoran" yang dianggarkannya sebagai 1,000 trilion rupiah ($110 bilion) dari ekonomi Indonesia akibat rasuah, dan mengulanginya sewaktu perdebatan selama lebih dua jam.
Penonton dan pemerhati berpendapat Encik Prabowo tonjolkan diri sebagai lebih tegas dan bersemangat sewaktu perdebatan - yang kedua dari lima perdebatan yang dijadualkan menjelang Pemilihan Presiden, 9 Julai ini.
Namun ramai juga berpendapat Encik Jokowi mempamerkan prestasi yang baik dengan memanfaatkan pengalamannya dalam perniagaan dan birokrasi bagi menangani topik perdebatan Pembangunan Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial.
Walaupun terdapat perbezaan ketara antara dua calon, para pemerhati berkata perdebatan semalam adalah seri.
Encik Joko dan calon naib presidennya, Encik Jusuf Kalla sebelum ini telah diberi kemenangan dalam perdebatan pertama minggu lalu. - Agensi.