WASHINGTON: Penyajak muda Amanda Gorman mengagumkan penonton dengan deklamasi puisi yang menyentuh hati di upacara perasmian Presiden Amerika Syarikat Joe Biden kelmarin.
Puisi itu, berjudul The Hill We Climb dan dibaca sejurus Encik Biden mengangkat sumpah sebagai presiden, meluahkan wawasan bagi sebuah negara yang kini berpecah-belah, lapor The Straits Times.
Cik Gorman, 22 tahun, berasal dari Los Angeles, berkata beliau selesai menulis puisinya mengenai perpaduan nasional pada malam 6 Januari apabila perusuh menyerbu bangunan Capitol.
"Saya menganggapnya sebagai peringatan bahawa kita memerlukan nada dan perasaan, dan semangat untuk membantu kita memahami sesuatu," katanya.
Cik Gorman ialah penyajak termuda dalam sejarah Amerika yang menandakan peralihan kuasa presiden, menyertai barisan penyajak lain seperti Robert Frost, Maya Angelou dan Elizabeth Alexander yang mendeklamasi sajak semasa majlis upacara perasmian Presiden.
Beliau juga merupakan yang pertama di negara itu untuk dinobatkan sebagai Pemuisi Pemuda Nasional.
"Menjadi rakyat Amerika lebih daripada kebanggaan yang kita warisi. Ia mengenai mengorak masuk masa lalu dan bagaimana kita memperbaikinya," kata Cik Gorman, dalam puisi pendeknya yang mendapat pujian meluas di media sosial.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg