Subuh
5:52
Syuruk
7:14
Zuhur
1:17
Asar
4:40
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Dunia0

Demokrat mula proses dakwa Trump

Dokumen pendakwaan antara lain tuduh Presiden Trump hasut pemberontakan
Jan 13, 2021 | 05:30 AM

WASHINGTON: Pihak Demokrat di Dewan Perwakilan Rakyat Amerika Syarikat secara rasmi mengemukakan dokumen pendakwaan terhadap Presiden Donald Trump atas tuduhan menghasut orang ramai menyerang bangunan Capitol minggu lalu dalam usaha membatalkan keputusan pilihan raya presiden.

Langkah itu membolehkan diadakan undian berkaitan pendakwaan tersebut pada hari ini, dengan terdapat undi mencukupi di Dewan tersebut untuk diluluskan.

Dokumen pendakwaan yang diperkenalkan kelmarin antara lain menuduh Encik Trump "menghasut satu pemberontakan", dengan mengaitkan kepada dakwaan palsunya bahawa pilihan raya presiden November lalu adalah satu penipuan, dan cara beliau menyeru penyokongnya supaya menyerbu bangunan Capitol, lapor laman The Straits Times (ST).

Pihak Demokrat juga memperkenalkan satu resolusi yang menyeru naib presiden Mike Pence dan Kabinet supaya bertindak menyingkirkan Encik Trump - dan mahu meluluskan resolusi itu sebulat suara - namun kemudian disekat sebilangan penggubal undang-undang Republikan.

Resolusi itu dijadual menjalani undian di dewan tersebut semalam.

Pemimpin majoriti Dewan itu, Encik Steny Hoyer, berkata undian untuk mendakwa Encik Trump boleh dilakukan hari ini, dan beliau mahu menghantar dokumen pendakwaan itu ke Senat yang dikuasai parti Republikan secepat mungkin, kata beliau ditukil CNN.

Anggota Kongres Demokrat, Encik David Cicilline, yang memperkenalkan dokumen pendakwaan itu bersama 213 anggota lain, berkata kelmarin bahawa beliau telah mendapat sokongan majoriti mudah daripada anggota Dewan yang mempunyai sejumlah 435 orang.

"Saya dapat melaporkan bahawa kami kini memiliki undi mencukupi lakukan pendakwaan," katanya di Twitter.

Beliau kemudian memberitahu Washington Post bahawa 220 anggota Demokrat akan mengundi untuk melakukan pendakwaan ke atas Encik Trump.

Jika Dewan Perwakilan mengundi untuk membuat pendakwaan itu, Senat perlu mengadakan perbicaraan dan mengundi untuk memutuskan sama ada mahu sabitkan Encik Trump atau membebaskannya daripada tuduhan pendakwaan itu.

Namun kemungkinan besar Encik Trump tidak akan disabitkan oleh Senat kerana ia memerlukan kelebihan majoriti besar, sama seperti kali pertama Encik Trump didakwa oleh Dewan Perwakilan dan kemudian dibebaskan oleh Senat pada tahun lalu, lapor ST.

Sebilangan anggota Republikan telah membidas proses pendakwaan itu dan mengkritiknya sebagai terlalu memecah-belah, sementara Demokrat pula menyifatkannya sebagai langkah perlu untuk membuat Encik Trump bertanggungjawab ke atas tindakannya.

Ketua Republikan di Dewan Perwakilan, Encik Kevin McCarthy, pula berkata kepada anggota partinya bahawa beliau menentang pendakwaan itu, sambil mencadangkan empat pilihan lain untuk mengutuk serangan Capitol, termasuk resolusi untuk mengecam Encik Trump.

"Secara peribadi, saya yakin bahawa langkah pendakwaan pada masa ini akan membawa kesan sebaliknya daripada menyatukan negara kita sedang kita perlu membawa Amerika kembali ke jalan menuju kesatuan dan ketertiban," kata Encik McCarthy dalam surat kepada anggota Republikan di Dewan Perwakilan.

Namun sebilangan anggota Demokrat telah menyatakan kekhuatiran mereka untuk mengadakan perbicaraan di Senat dalam beberapa hari atau minggu pertama semasa penggal Presiden Dipilih Joe Biden yang mungkin menjejas keupayaan beliau melaksanakan agendanya.

Encik Biden telah mencadangkan supaya Senat membahagikan waktunya bagi perbicaraan pendakwaan dengan pengesahan pencalonannya bagi jawatan Kabinet baru.

"Bolehkah anda adakan setengah hari buat pendakwaan itu, dan setengah hari bagi pencalonan (Kabinet) saya dan mengesahkan mereka di Senat? Ini termasuk perbincangan dan kelulusan bagi pakej rangsangan Covid-19," ujar Encik Biden kelmarin setelah menerima suntikan vaksin Covid-19 keduanya, sambil menambah, beliau telah membincangkan hal ini dengan pemimpin Dewan Perwakilan dan Senat.

Encik Trump juga sebelumnya dikatakan terlibat dalam usaha untuk menghalangi keputusan pilihan raya presiden, menurut tuduhan itu, merujuk kepada panggilan telefon beliau dengan setiausaha negara Georgia, Encik Brad Raffensperger, sambil menggesa Encik Raffensperger supaya "mencari undi mencukupi yang diperlukan" untuk menjadikan beliau pemenang pilihan raya presiden di negeri itu.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map