JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor akan mengambil tindakan lebih tegas kepada individu yang membuang sampah merata-rata dengan menyelaraskan denda di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) sehingga mencecah RM500 ($155.4) bagi kesalahan berkenaan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri bercadang menguatkuasakan undang-undang itu selepas mendapati pemikiran masyarakat berhubung isu pembuangan sampah masih belum mencapai tahap ditetapkan.
"Sejak tahun lalu, kita sudah lancarkan program Johor Bersih, tetapi pemikiran masyarakat tidak mencapai tahap yang kita mahukan.
"Oleh itu saya sudah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tingkatkan penguatkuasaan.
"Selepas ini, saya minta PBT kuatkuasakan Akta 133 yang mana denda maksimum RM500," katanya ketika ditemui selepas Program Johor Bersih Zon Tampoi, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Onn Hafiz berkata semua 16 PBT di negeri ini akan digerakkan bersama semua agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat untuk turut sama menjayakan program Jom Bersih itu yang diadakan setiap minggu.
Sementara itu, Datuk Mohd Jafni berkata sebelum ini denda di bawah akta berkenaan adalah sebanyak RM30 dan RM50.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg