Denmark dahului negara EU laksana program vaksinasi
ROSKILDE: Denmark mendahului negara Kesatuan Eropah (EU) dalam vaksinasi terhadap Covid-19 kerana pelaksanaan yang cepat dan lancar, dan lebih banyak lagi orang yang akan mendapat suntikan sekiranya negara itu menerima lebih banyak bekalan dos.
Sejauh ini, 2.2 peratus penduduk Denmark yang berjumlah 5.8 juta telah diberi vaksin sejak kempen tersebut dimulakan pada 27 Disember lalu.
Tidak seperti negara-negara lain yang menjangkakan masalah penghantaran justeru mengetepikan setengah bekalan vaksin mereka untuk memastikan pesakit mendapat dos kedua, Denmark sebaliknya meneruskan program dan menggunakan semua bekalan dos Pfizer-BioNTech mereka yang pertama.
"Kedudukan pemerintah yang jelas adalah bahawa saat vaksin tiba di Denmark adalah saat mereka harus digunakan," kata Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen.
Dengan sistem logistik yang baik dan kempen pantas di rumah penjagaan - dengan hampir semua yang menginginkan vaksin kini telah menerimanya - Denmark mendahului EU dalam vaksinasi, jauh di depan Italy dan Slovenia dan dengan kecepatan hampir tiga kali lebih tinggi daripada purata negara EU, menurut data yang dikumpulkan agensi berita AFP.
Sehingga kelmarin, 129,170 orang di Denmark telah menerima suntikan pertama mereka.
Dengan sistem kebajikan yang kukuh, Denmark juga berupaya berbuat demikian hasil sistem penjagaan kesihatan sejagatnya, yang ditadbir oleh wilayah-wilayah setempat yang mudah digerakkan.
"Pengaturan kami membolehkan pengedaran (vaksin) yang cepat dan kami mempunyai infrastruktur IT yang sangat baik yang membolehkan kami mendaftarkan setiap orang yang menerima vaksin, " kata Profesor Jens Lundgren, seorang profesor University of Copenhagen, yang pakar dalam penyakit berjangkit, kepada AFP.
Menyasarkan rumah jagaan, dengan suntikan diberikan di tempat itu, telah membolehkan kempen vaksinasi bermula dengan kukuh, menurut ahli epidemiologi Profesor Lone Simonsen, seorang profesor di University of Roskilde.
Untuk memaksimumkan jumlah warga yang mendapat dos pertama, Denmark, seperti beberapa negara lain, juga mengizinkan dos kedua ditangguhkan hingga enam minggu dalam beberapa kes, dan bukannya tiga minggu seperti yang disyorkan pengeluar vaksin.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah meluluskan langkah itu walaupun terdapat beberapa keprihatinan daripada pengeluar.
Di Roskilde, di pusat vaksinasi Gadstrup yang didirikan di sebuah bekas bangunan tentera, Encik Mikael Jensen, 75 tahun, pergi setelah membuat janji temu untuk menerima dos kedua dalam tiga minggu.
Dianggap berisiko setelah menjalani pemindahan ginjal, beliau berkata "lega" mendapat vaksin.
Jururawat di sini memberi vaksin kepada seorang pesakit setiap 12 minit, kata doktor yang bertugas di pusat itu, Dr Kim Christiansen.
Cik Trine Holgersen, ketua perkhidmatan kesihatan wilayah Zeeland, bekata bahawa setiap orang di rantau itu akan dijamin mendapat dos kedua mereka tepat pada waktunya.
Zeeland akan mula memberi dos kedua pada hari Isnin.
Di tanah besar Demark, tidak termasuk Greenland dan Kepulauan Faroe, sebanyak 183,801 kes Covid-19 dan 1,623 kematian telah dilaporkan.
Terdapat juga keprihatinan tentang varian Covid-19 dari Britain yang dilaporkan lebih mudah merebak.- AFP

