Dewan Perwakilan AS tolak usul hentikan perang terhadap Iran
Dewan Perwakilan AS tolak usul hentikan perang terhadap Iran
WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada 5 Mac menolak usaha untuk menghentikan operasi ketenteraan terhadap Iran dan memaksa Presiden Donald Trump mendapatkan kelulusan Kongres sebelum meneruskan perang tersebut, sekali gus menunjukkan sokongan awal terhadap kempen ketenteraan Washington di Asia Barat.
Usul dwipartisan itu gagal selepas undian 219 berbanding 212 menolak cadangan untuk membincangkan resolusi yang bertujuan menamatkan operasi ketenteraan ofensif terhadap Iran yang tidak mendapat kelulusan Kongres.
Walaupun undian tersebut sebahagian besarnya mengikut garis parti, keputusan itu turut memperlihatkan perpecahan dalam kedua-dua parti politik utama di Washington.
Empat ahli Demokrat menyokong Republikan untuk menolak resolusi itu, manakala dua ahli Republikan pula memihak kepada cadangan tersebut kerana bimbang kuasa presiden digunakan secara berlebihan tanpa pengawasan Kongres.
Ahli Republikan dari Kentucky yang menaja resolusi itu, Encik Thomas Massie, menegaskan bahawa Perlembagaan Amerika Syarikat memberi kuasa kepada Kongres untuk memulakan peperangan.
“Perlembagaan kita jelas. Kuasa untuk memulakan peperangan terletak pada Kongres,” katanya ketika berucap dalam perbahasan di Dewan Perwakilan.
Encik Massie yang menggubal resolusi itu bersama ahli Demokrat dari California, Encik Ro Khanna, berkata Resolusi Kuasa Perang 1973 hanya membenarkan presiden menggunakan kekuatan tentera tanpa kelulusan Kongres dalam keadaan tertentu.
Menurut beliau, presiden hanya boleh bertindak secara unilateral sekiranya berlaku pengisytiharan perang, kebenaran undang-undang khusus daripada Kongres, atau kecemasan negara akibat serangan terhadap Amerika Syarikat. “Tiada satu pun syarat tersebut wujud pada hari ini,” katanya.
Beberapa ahli Demokrat turut mempersoalkan tindakan Presiden Trump melancarkan operasi ketenteraan tanpa kelulusan Kongres.
Ahli Demokrat dari New York yang mengetuai Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan, Encik Gregory Meeks, berkata pentadbiran Trump gagal menunjukkan bahawa ancaman segera memerlukan tindakan ketenteraan. “Persoalannya ialah sama ada wujud ancaman segera yang memerlukan penggunaan kekuatan tentera. Pentadbiran tidak mengemukakan bukti sedemikian,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa istilah “ancaman segera” tidak disebut dalam pemberitahuan rasmi pentadbiran Trump kepada Kongres mengenai operasi ketenteraan tersebut.
Namun ramai ahli Republikan mempertahankan tindakan Presiden Trump dan menyatakan beliau mempunyai kuasa undang-undang untuk bertindak terhadap Iran.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan dari Florida, Encik Brian Mast, berkata Iran telah lama menjadi ancaman kepada Amerika Syarikat. “Kita telah melihat Iran sebagai ancaman terhadap Amerika bukan hanya sejak beberapa hari lalu, tetapi sejak lebih 40 tahun,” katanya. “Iran bertanggungjawab terhadap keganasan yang telah meragut nyawa ribuan rakyat Amerika dan perkara itu mesti dihentikan,” tambahnya.
Undian di Dewan Perwakilan itu dibuat sehari selepas Senat Amerika Syarikat turut menolak usul serupa yang bertujuan memaksa Presiden Trump mendapatkan kelulusan Kongres sebelum meneruskan operasi ketenteraan terhadap Iran.
Perdebatan mengenai kuasa presiden untuk melancarkan perang tanpa kelulusan Kongres sebenarnya bukan perkara baharu dalam politik Amerika Syarikat.
Sejak beberapa dekad lalu, presiden Amerika sering cuba memperluas kuasa eksekutif dalam hal ketenteraan, manakala Kongres pula berusaha mempertahankan peranannya dalam membuat keputusan mengenai peperangan.
Isu tersebut kembali hangat selepas konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran tercetus baru-baru ini.
Ahli Republikan dari Texas, Encik Michael McCaul, berkata konflik semasa berpotensi mengubah landskap politik Asia Barat. “Ini adalah detik bersejarah yang boleh membuka jalan kepada keamanan di Asia Barat,” katanya. “Kongres mesti berdiri bersama presiden dan tentera kita untuk menamatkan bab gelap sejarah ini dan membuka jalan kepada keamanan yang berkekalan,” tambahnya.
Namun bagi sesetengah ahli Kongres, isu kuasa perang presiden masih menjadi dilema besar.
Ahli Demokrat dari Florida, Encik Jared Moskowitz, berkata walaupun beliau menyokong usaha mengekang program nuklear Iran, Kongres tidak boleh mengabaikan peranan perlembagaannya.
“Tidak kira apa pandangan kita terhadap perang ini atau presiden, peranan Kongres dalam mengisytiharkan perang adalah tanggungjawab yang ditetapkan oleh Perlembagaan,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa Kongres berisiko kehilangan relevansi jika gagal mempertahankan kuasanya.
“Kongres hampir menjadi tidak relevan. Kita sendiri yang membiarkannya berlaku,” katanya. - Agensi berita

