WASHINGTON: Jawatankuasa Dewan Perwakilan Amerika Syarikat telah mendapatkan kenyataan cukai Encik Donald Trump, menurut laporan stesen berita CNN, kelmarin.
Ini setelah beberapa tahun mantan presiden parti Republikan itu bertelagah dan menuduh panel yang dipimpin oleh parti Demokrat melakukannya atas gesaan politik.
Jawatankuasa Ways and Means telah cuba mendapatkan kenyataan cukai Encik Trump dari 2015 hingga 2020.
Jawatankuasa itu berkata ia memerlukan dokumen tersebut yang kini didapatkan setelah Mahkamah Agung membuat keputusan membenarkannya, bagi menentukan sama ada Perkhidmatan Hasil Mahsul Dalam Negeri telah mengaudit dengan betul kenyataan cukai presiden dan sama ada satu undang-undang baru diperlukan.
Bagaimanapun, jawatankuasa berkenaan tidak mempunyai banyak waktu untuk melaksanakan tugasnya.
Ini kerana parti Republikan akan mempunyai kuasa majoriti dalam Dewan Perwakilan menjelang Januari depan.
Encik Trump mencabar jawatankuasa itu habis-habisan bagi mengelakkan kenyataan cukainya dikeluarkan.
Beliau adalah presiden pertama dalam masa empat dekad yang tidak mahu mendedahkan kenyataan cukainya kerana ingin merahsiakan butir-butir kekayaannya dan kegiatan-kegiatan firma hartanah miliknya, Trump Organisation.
Encik Trump menjadi presiden dari 2017 hingga 2021.
Pada 15 November, beliau memulakan percubaannya untuk bersaing bagi jawatan presiden buat kali ketiga.
Beliau melaporkan mengalami kerugian besar dalam perniagaan sejak beberapa tahun dan kehilangan pendapatan ratusan juta dolar, menurut laporan media yang membuat liputan perbicaraan mengenai kedudukan kewangannya.
Keadaan itu membenarkan beliau membayar cukai pada kadar yang sangat rendah. - Reuters.