KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi tempoh lima hari kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, memohon maaf berhubung dakwaan mengatakan Datuk Seri Anwar menerima RM15 juta ($4.64 juta) bagi khidmatnya sebagai penasihat ekonomi kerajaan Selangor.
Dalam surat tuntutannya, peguam Datuk Seri Anwar, SN Nair & Partners, menuntut agar membuat permohonan maaf tanpa syarat kerana membuat kenyataan berunsur fitnah itu ke atas anak guamnya.
Datuk Seri Anwar juga memberi tempoh lima hari kepada Datuk Amzad menarik balik hantaran berkenaan dakwaan itu di TikTok, serta membuat aku janji untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan berkenaannya.
Perkara itu disampaikan menerusi surat tuntutan maaf kepada Datuk Amzad bertarikh kelmarin.
Peguam, Datuk SN Nair, ketika dihubungi mengesahkan telah menghantar notis itu kepada Datuk Amzad melalui pos.
Dalam video yang dimuat naik oleh pengguna @nelly3868, Datuk Amzad didakwa membayangkan walaupun Datuk Anwar hanya menerima bayaran simbolik RM1 ($0.31) setahun sebagai penasihat ekonomi Selangor, tetapi beliau membuat tuntutan sebanyak RM15 juta.
Datuk Amzad, yang merupakan bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, juga membangkitkan pengampunan diraja yang diberikan kepada Datuk Anwar pada 2018 atas tiga sabitan salah guna kuasa dan liwat.
Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pernah membuat dakwaan serupa, bahawa Datuk Anwar menerima RM15 juta ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor dalam satu ceramah kempen di Padang Serai pada 5 Disember lalu.
Datuk Anwar juga menuntut Tan Sri Muhyiddin memohon maaf atas dakwaan yang dibuat.
Dalam notis itu, peguam Datuk Anwar berkata kenyataan Datuk Amzad itu tidak benar, memfitnah dan berniat jahat, malah dakwaan "RM15 juta" itu telah dinafikan kerajaan negeri Selangor.
Pejabat Menteri Besar Selangor kemudian menafikan dakwaan itu dan menegaskan bayaran simbolik yang diterima Datuk Anwar yang berkhidmat sebagai penasihat, Datuk Anwar hanya dibayar simbolik RM1.
Dalam surat tuntutan maaf itu, Datuk Anwar berkata video itu dimuat naik di Tik Tok dengan niat jahat untuk "merendahkan" maruahnya.
Beliau juga menyifatkan Datuk Amzad telah "mencemarkan dan mengejek" pengampunan penuh yang diberikan Yang di-Pertuan Agong serta menghina institusi diraja.
Tambahnya, kenyataan berkenaan mencabar keputusan serta kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V, untuk memberi pengampunan penuh terhadap Datuk Anwar, seperti termaktub dalam perlembagaan.
Menurut surat tuntutan itu, Datuk Anwar menuntut ganti rugi "substantif dan penting" daripada Datuk Amzad atas "kecederaan teruk" reputasinya.
Beliau juga menuntut Datuk Amzad membayar semua kos guaman dalam perkara itu.
Tindakan undang-undang akan dimulakan jika Datuk Amzad gagal memenuhi tuntutan yang disenaraikan dalam tempoh yang diberikan, menurut surat itu.
Beliau juga menuntut aku janji bertulis untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen berkenaan, dan jika gagal berbuat demikian perintah injunksi, ganti rugi dan kos akan dimohon terhadapnya.
"Sekiranya anak guam kami tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh lima hari dari tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan perundangan," menurut notis itu.
Datuk Anwar dilantik penasihat ekonomi negeri pada 2009, ketika Allahyarham Khalid Ibrahim menjadi menteri besar Selangor, setahun selepas Pakatan Rakyat menggulingkan kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-12. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg