Topic followed successfully
Go to BHkuDiiring keluar kongres parti: Kisah Hu Jintao terus jadi tanda tanya
Diiring keluar kongres parti: Kisah Hu Jintao terus jadi tanda tanya
Diiring keluar kongres parti: Kisah Hu Jintao terus jadi tanda tanya
BEBERAPA lagi gambar baru muncul, menunjukkan apa yang terjadi sebelum bekas pemimpin China, Encik Hu Jintao (gambar atas), secara dramatik dibawa keluar tinggalkan Kongres Parti Komunis di Beijing minggu lalu.
Gambaran terperinci menunjukkan bagaimana Encik Li Zhanshu yang berada di sebelah kiri Encik Hu, mengambil fail dari Encik Hu dan mengatakan sesuatu kepada beliau.
Kemudian, pemimpin China sekarang, Encik Xi Jinping, dilihat mengarahkan sesuatu kepada seorang lagi lelaki yang kemudian cuba memujuk Encik Hu supaya beredar.
Kejadian yang tidak dijangkakan itu mencetuskan pelbagai spekulasi, dengan ada yang mengatakan ia disengajakan bagi menunjukkan kuasa Encik Xi dan membayangkan bahawa era kekuasaan Encik Hu sudah berlalu.
Sementara ada beberapa pihak lagi melihatnya sebagai suatu keadaan kesihatan Encik Hu yang kurang sihat.
Agensi berita rasmi Xinhua menyatakan bahawa Encik Hu telah diiringi keluar dari dewan setelah berasa tidak sihat - tetapi ia tidak pula melaporkan di akhbar dalam negara. Twitter telah disekat daripada para pengguna di China.
Peristiwa itu berlaku pada hari Encik Xi mengumumkan tempoh penggal ketiga kekuasaannya.
Ramai tertanya-tanya apakah kejadian itu disengajakan.
Tidak seperti Encik Hu, di mana di bawah kepimpinan beliau dari 2003 hingga 2013, dilihat sebagai lebih terbuka kepada dunia luar, Encik Xi telah menerajui negara itu ke arah lebih terpencil.
Gambar-gambar baru itu, yang dirakam oleh stesen berita Channel News Asia, tidak pula menyanggah kenyataan rasmi yang mengatakan Encik Hu sedang sakit.
Tetapi ia juga membayangkan bahawa ada suatu hal yang berlaku jika dilihat bahawa Encik Hu sedang memagang dokumen.
Lebih menarik, Encik Li Zhanshu dilihat cuba berdiri membantu Encik Hu supaya berdiri, tetapi beliau ditahan oleh seorang disebelah kirinya, Encik Wang Huning.
Dalam pada itu, Encik Hu dilihat seperti menyatakan sesuatu kepada Encik Xi sambil berlalu, sementara beberapa orang lain yang duduk sebaris tidak menoleh ke arah Encik Hu semasa diiring keluar.
Encik Deng Yuwen, seorang bekas editor akhbar Parti Komunis, The Study Times, berkata tiada gunanya parti itu meletakkan dokumen yang tidak boleh dibaca oleh Encik Hu dalam mesyuarat yang berprofil tinggi seperti itu.
"Sebenarnya ada sesuatu yang janggal. Tiada siapa yang boleh menjelaskan sehingga lebih banyak maklumat diperolehi tentang apa yang terkandung dalam fail tersebut atau apa yang telah diperkatakan ketika itu."
Encik Wen-ti Sung, seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Australia, berkata gambar-gambar baru itu masih belum dapat menjelaskan keadaan sebenar.
"China adalah sebuah negara yang ketat dengan peraturan, lebih lagi dalam acara yang berprofil tinggi seperti itu sekalipun dalam era Encik Xi di mana banyak hal yang dikawal. Jadi, keadaan di mana Encik Hu tidak dikawal dan dikeluarkan secara mendadak adalah suatu hal yang aneh, dan kerana itu banyak berita-berita liar berkisar.
"Tetapi itu juga tidak bermakna yang khabar-khabar kononnya ada penyingkiran sedang berlaku adalah benar," ujarnya.
Tetapi Encik Deng berkata bahawa melihat ke arah beberapa pegawai kanan - termasuk bekas orang kanan Encik Hu, Encik Wen Jiabao - memandang tepat ke arah Encik Hu yang berjalan keluar di belakang mereka adalah sesuatu yang dapat diandaikan berlaku terkait dengan Encik Xi. - Agensi berita.

