Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M'sia: Buka atau tutup kedai gunting rambut?

Apr 12, 2020 | 3:35 PM
JAMINAN KESELAMATAN: Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA), TN Winda Mohd Tahir, berkata pihaknya memberi jaminan tidak akan mengambil mudah aspek kesihatan dan keselamatan pelanggan serta penggunting rambut.
JAMINAN KESELAMATAN: Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA), TN Winda Mohd Tahir, berkata pihaknya memberi jaminan tidak akan mengambil mudah aspek kesihatan dan keselamatan pelanggan serta penggunting rambut. - THE STAR

PUTRAJAYA: Permohonan syarikat dalam sektor tambahan termasuk kedai gunting rambut untuk beroperasi semula secara berperingkat, akan diputuskan untuk kelulusan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bukan semua permohonan itu yang akan mendapat kelulusan beroperasi semula.

Katanya, pihaknya juga sudah dimaklumkan oleh MITI, ia akan meneliti setiap pandangan yang disuarakan dan pelaksanaannya bukanlah dengan serta merta.

"Saya difahamkan ada proses permohonan dan tidak semestinya permohonan itu akan diterima... ia akan dibuat oleh MITI terutama cadangannya ialah di kawasan zon hijau saja, bukan di kawasan merah dan sebagainya.

"Bagaimanapun, perincian berkenaan prosedur operasi standard (SOP) akan dikeluarkan oleh MITI. Setakat hari ini, kerajaan menerima pandangan daripada rakyat dan MITI akan meneliti dan memperhalusi setiap pandangan rakyat.

"Peringkat awalnya, ia bukan secara serta merta sebaliknya melalui permohonan. Keputusannya tetap kita serahkan kepada MITI. Biarlah MITI mengeluarkan kenyataan mereka untuk memberikan penjelasan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata demikian, apabila ditanya sama ada kerajaan akan menarik balik kebenaran untuk operasi kedai gunting rambut dibenarkan berikutan reaksi orang ramai termasuk pengusaha yang menolak untuk beroperasi berikutan sukar untuk melakukan penjarakan sosial.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu perutusan khas, menyatakan beberapa sektor tambahan akan dibenarkan untuk beroperasi semula apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki fasa ketiga pada 15 April ini.

Sebelum ini, pengusaha gunting rambut berkata akan melaksanakan prosedur ketat yang digariskan kerajaan, jika dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA), TN Winda Mohd Tahir, berkata pihaknya memberi jaminan tidak akan mengambil mudah aspek kesihatan dan keselamatan pelanggan serta penggunting rambut.

"Namun, kami juga ada menggariskan beberapa panduan asas, antaranya setiap kedai gunting rambut perlu guna termometer untuk periksa suhu badan pelanggan, selain menyediakan cecair nyah kuman (hand sanitizer).

"Penggunting rambut dan pelanggan juga perlu memakai topeng muka dan rekodkan kehadiran setiap pelanggan. Mereka yang bergejala atau suhu badan tinggi tidak boleh dibenarkan masuk ke premis, selain jumlah pelanggan dalam kedai pada satu-satu masa dihadkan," katanya kepada BH, hari ini. - BHM

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg