KUALA LUMPUR: Beberapa parti politik semalam secara terbuka mengundang mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin (gambar), dan anggota Umno lain berikutan pemecatan mereka daripada parti itu kelmarin.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sesiapa, tidak kira apakah mereka daripada Umno, boleh memohon untuk menyertai parti itu di bawah naungan Perikatan Nasional (PN).
Mantan Perdana Menteri itu, yang pernah berkata Encik Khairy adalah "pemimpin yang baik tetapi dalam parti yang salah", berkata langkah menyertai Bersatu harus dipertimbangkan Encik Khairy sendiri.
"Khairy seorang yang bijak dan disayangi ramai. Saya mengenalinya dengan baik kerana beliau adalah seorang menteri di bawah Kabinet saya. Beliau mempunyai kelayakan yang baik dan matang dalam politik.
"Ia bergantung kepadanya. Kalau beliau rasa sesuai (menyertai Bersatu), beliau boleh mohon dan kami akan pertimbangkan," kata Tan Sri Muhyiddin, yang juga Pengerusi PN.
Encik Khairy turut mendapat undangan daripada Parti Gerakan Rakyat. Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Rakyat, Encik Wong Chia Zhen, berkata Encik Khairy calon sesuai untuk parti itu.
"Pada saya, keputusan majlis (tertinggi Umno untuk memecat Khairy) tidak wajar kerana Khairy seorang ahli politik yang berkaliber dan berjaya beri saingan kepada lawannya di Sungai Buloh pada pilihan raya lalu," kata Encik Wong.
"Malah, ini tidak harus berlaku kerana Khairy terbukti antara menteri yang paling menunjukkan prestasi baik semasa era Covid-19," ujarnya.
Khairy tidak kecewa dipecat Umno, nafi khianat parti
Encik Khairy dengan tegas menyatakan bahawa beliau tidak kecewa atau tunduk di atas keputusan partinya itu.
Beliau yang sebelum ini membayangkan akan dipecat atau digantung, melalui kenyataan ringkas di Twitter, juga menyatakan beliau tidak terkesan dengan apa yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
"Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang, yang saya berikan kesetiaan.
"Unbowed, unbent, unbroken," katanya.
Beliau telah berkata sebelum ini bahawa pandangan yang berbeza daripada kepimpinan dan usaha mencari proses demokratik tidak bermaksud mengkhianati parti, kata Encik Khairy.
"Umno dimiliki semua anggotanya. Bukan majlis tertinggi sahaja," kata mantan Menteri Kesihatan itu di Facebook, menjelang mesyuarat MKT Umno.
Encik Khairy sebelum ini mendakwa mengenai kewujudan "perwakilan import" di perhimpunan agung Umno 2022 baru-baru ini.
Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata lembaga disiplin parti itu akan meneliti tindakan terhadap Encik Khairy kerana menyebarkan dakwaan yang dikatakan adalah palsu.
Encik Khairy mendakwa ada usaha membawa masuk "perwakilan import" bagi memastikan usul jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu diluluskan semasa perhimpunan agung 2022. Usul itu diluluskan.
Beliau juga menyokong beberapa anggota Umno yang membuat aduan kepada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS) terhadap keputusan Umno mengekalkan dua jawatan tertinggi parti itu.
Encik Khairy juga dengan lantang mengkritik tindakan lebih 100 ketua bahagian Umno sebulat suara tidak mahu jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan.
Sementara itu, Tan Sri Noh Omar memberitahu media bahawa beliau dipecat selepas mencabar Presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid, supaya memecat keahliannya terus daripada parti, selepas MKT memutuskan untuk menggantung keahliannya selama enam tahun.
Menurut mantan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu, semasa cabaran dibuat kepada Datuk Ahmad Zahid, tiada ahli MKT yang memberi maklum balas kecuali presiden.
"Lain-lain semua diam, tetapi dia (Datuk Ahmad Zahid) cakap okey. Dengan ini saya dipecat serta-merta," katanya.
Beliau yang sudah berkecimpung dalam Umno lebih 46 tahun, mempersoalkan keputusan itu disebabkan beliau baru sahaja mendapat surat untuk hadir ke Lembaga Disiplin parti.
Tan Sri Noh turut membangkitkan undang-undang apa yang digunakan dalam keputusan itu sama ada undang-undang rimba atau hantu.
"Ikut suka hati saja sebab saya sudah terima surat daripada Lembaga Disiplin untuk hadir pada 2.30 petang Isnin ini, tetapi saya tersenarai digantung hari ini.
"Mengapa keputusan dibuat, dia kata lepas jumpa Lembaga Disiplin. (Hakikatnya) Lembaga Disiplin belum bermesyuarat, tetapi saya sudah pun digantung enam tahun.
"Macam inilah Umno, tindakan sesuka hati dan ini merupakan hinaan kepada Lembaga Disiplin," katanya.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, kelmarin mengesahkan Tan Sri Noh dan Encik Khairy dipecat daripada Umno.
Kedua-dua mereka dipecat parti disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan Umno kerana kesalahan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg