Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Diskriminasi agama di Perancis semakin meningkat

Dec 5, 2025 | 10:41 AM
islamofobia, paris, bantahan
Seorang penunjuk perasaan memegang plakad antara lain tertulis “hentikan Islamofobia” ketika menyertai perhimpunan membantah Islamofobia di Paris pada 11 Mei 2025. - Foto AFP

PARIS: Diskriminasi berasaskan agama di Perancis didapati semakin meningkat.

Demikian menurut laporan terkini oleh Hak Asasi Ombudsman negara itu pada 4 Disember.

Kajian tersebut mendapati seorang daripada tiga responden Muslim mengakui pernah menjadi mangsa diskriminasi.

Perancis mempunyai anggota masyarakat Muslim yang ramai, kebanyakannya ekoran penghijrahan dari bekas tanah jajahan termasuk Afrika Utara.

Namun, undang-undang Perancis melarang pengumpulan data rasmi berkaitan kaum, etnik atau agama, menyebabkan perangkaan menyeluruh tentang diskriminasi sukar diperolehi.

Menurut pejabat Ketua Hak Asasi, Cik Claire Hedon, penemuan itu berpandu tinjauan 2024 melibatkan 5,000 individu yang mewakili penduduk Perancis.

Laporan itu menyatakan, 7 peratus responden mengalami diskriminasi agama dalam tempoh lima tahun lalu, meningkat berbanding 5 peratus pada 2016.

Angka itu jauh lebih tinggi dalam kalangan masyarakat Muslim.

Sebanyak 34 peratus Muslim atau individu yang dianggap sebagai Muslim melaporkan mereka pernah didiskriminasi berbanding 19 peratus bagi penganut agama lain seperti Yahudi dan Buddha serta hanya 4 peratus dalam kalangan penganut Kristian.

Dalam kalangan wanita Muslim, kadar diskriminasi meningkat kepada 38 peratus, berbanding 31 peratus bagi lelaki Muslim.

Laporan itu memberi amaran bahawa diskriminasi boleh membawa kepada pengasingan sosial, terutama bagi wanita Muslim yang memakai tudung.

“Mereka berdepan stigma di ruang awam dan berdepan sekatan dalam kerjaya,” ujar laporan tersebut.

Antara kesan dilaporkan termasuk dipaksa meninggalkan pekerjaan, menerima jawatan yang tidak setimpal kelayakan, atau bergantung kepada perniagaan masyarakat apabila sukar mendapatkan pekerjaan.

Ada juga wanita yang dilarang menyertai sukan tertentu kerana tudung.

Sekularisme di Perancis berpaksikan undang-undang 1905 yang menjamin kebebasan beragama, pemisahan antara institusi agama dengan negara, serta memastikan pemerintahan bersifat berkecuali.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, prinsip sekularisme sering dijadikan alasan untuk melaksanakan larangan ke atas simbol agama termasuk larangan pemakaian tudung di sekolah pemerintah.

Sebahagian umat Islam di Perancis menyatakan negara itu semakin terasa tidak mesra, terutama selepas media berhaluan kanan dan pelampau sayap kanan kerap menggambarkan apa yang mereka dakwa sebagai “ancaman Islam”, pasca serangan pelampau di Paris pada 2015.

Laporan Ombudsman itu juga menyorot satu lagi kajian yang menunjukkan kira-kira satu perempat rakyat Perancis tersilap mentafsir sekularisme sebagai “larangan simbol agama di ruang awam”.

Laporan itu menyifatkan tafsiran tersebut sebagai salah.

Perkara ini, menurut laporan tersebut, mewujudkan “jurang antara persepsi sosial dengan realiti perundangan”, dipengaruhi oleh masyarakat yang kian sekular serta naratif politik dan media yang kerap diulang.

Laporan itu menggesa pendidikan yang lebih baik mengenai konsep sekularisme Perancis.

Ia menegaskan tindakan politik yang kononnya bertujuan memerangi pengasingan agama seperti melarang pemakaian tudung dalam keadaan tertentu sebenarnya “menyumbang kepada pembentukan pengasingan tersebut”.

Kumpulan hak asasi pula berhujah larangan ke atas tudung hakikatnya tetap bermaksud mengawal pakaian wanita bukannya memberi mereka kebebasan untuk menentukan pilihan sendiri. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg