PETALING JAYA: Sijil pemvaksinan Covid-19 digital sekarang menjadi 'komoditi panas' di Malaysia, memandangkan mereka yang diberi vaksinasi sepenuhnya diberi kebebasan dan faedah sosial lebih besar.
Oleh kerana mereka yang tidak mengambil vaksin Covid-19 tidak akan menikmati faedah tersebut, beberapa individu tidak bertanggungjawab berusaha membohongi status vaksinasi mereka dengan sijil palsu.
Klinik swasta mengatakan mereka mendapat pertanyaan daripada orang tidak mengambil vaksin, dengan beberapa tawaran wanmg untuk memalsukan status vaksinasi mereka.
Presiden Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia, Dr Steven Chow, berkata anggotanya melaporkan mendapat panggilan telefon meminta mereka memalsukan sijil vaksin dengan tawaran hingga RM1,000 ($320)bagi setiap sijil.
"Mereka tidak semestinya anti-vaxxer (golongan antivaksin Covid-19). Mereka mungkin orang yang perlu melakukan perjalanan ke luar negara segera," kata Dr Chow.
"Tetapi kos vaksinasi dengan bayaran sendiri tanpa subsidi di klinik swasta adalah RM350 dan menawarkan RM1,000 bagi dokumen palsu adalah mencurigakan. Pihak berkuasa harus menyiasat dan bertindak lebih awal."
Dr Chow berkata sebarang dokumen atau sijil yang ditandatangani pengamal perubatan berdaftar mempunyai tanggungjawab undang-undang serius.
"Nasihat kami kepada doktor ialah jangan terbabit. Yang terbaik ialah menolak permintaan mereka... Semua orang harus melakukan vaksinasi melalui saluran betul untuk melindungi diri mereka sendiri," ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ProtectHealth Corporation, Dr Anas Alam Faizli, mendedahkan terdapat kes terpencil anti-vaxxer pergi ke pusat vaksinasi (PPV) tetapi enggan menggulung lengan baju mereka.
"Mereka hanya ingin dirakam kononnya menerima vaksinasi mereka. PPV ialah tempat pemberian vaksin, bukan tempat pemalsuan dokumen. Sikap seperti itu tidak akan dilayan," katanya.
Berkata berkata ada proses, alur kerja dan prosedur operasi tepat yang diamalkan di PPV bagi memastikan hanya mereka yang diberi vaksin direkodkan maklumat mereka.
Baru-baru ini, polis memulakan siasatan terhadap penjualan sijil vaksinasi digital palsu yang ditular di media sosial.
Presiden Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia, Dr Raj Kumar Maharajah, berkata doktor semakin mendapat permintaan daripada orang yang meminta disahkan telah mendapat vaksin walaupun sebenarnya mereka enggan mengambilnya.
"Ya, kami didatangi orang yang hanya menginginkan sijil vaksinasi. Beberapa orang datang bagi janji temu mereka tetapi meminta agar mereka tidak disuntik kerana mereka hanya mahukan sijil," katanya.
Namun, jumlah mereka yang ingin melakukan itu sangat kecil, katanya. - The Star.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg