KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaannya akan berupaya mengurangkan hutang negara daripada RM1 trilion (S338 bilion) kepada RM800 bilion menerusi pelbagai pendekatan termasuk memansuhkan beberapa agensi tertentu yang tidak perlu.
Beliau berkata, kepemimpinannya mewarisi kerajaan yang ditadbir urus dengan teruk yang mengumpul hutang banyak menerusi pinjaman daripada negara luar, bank asing malah sumber tempatan.
Dalam temubual bersama stesen penyiar Voice of America, Dr Mahathir berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan membiarkan hutang negara di tahap itu.
Tindakan awal ialah meneliti jumlah hutang negara dengan berusaha mengurangkannya sebanyak RM200 bilion termasuk menerusi pengurangan perbelanjaan kerajaan, memastikan negara mampu membayarnya dan cuba mengurangkan jumlah pinjaman pokok.
Katanya, banyak pelantikan politik dalam kerajaan menjalankan kerja-kerja parti, bukan kerajaan.
"Oleh itu kita perlu mengurangkan jumlah kakitangan (politik), begitu juga kewujudan beberapa agensi yang tidak ditadbir urus oleh kerajaan tetapi menggunakan kewangan kerajaan.
"Yang paling teruk adalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), " katanya.
Menurutnya, terdapat syarikat milik kerajaan tetapi tidak tertakluk kepada undang-undang dan peraturan, meminjam dalam jumlah yang banyak dan kemudian wang itu hilang dan dicuri. Ini antara unsur yang perlu dihapuskan segera, katanya.
Dr Mahathir berkata beliau kini memimpin kerajaan yang mewarisi pentadbiran dan sistem kewangan yang sebenarnya sudah musnah sehingga menjerat negara dalam krisis hutang yang serius.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata hutang negara termasuk jaminan kerajaan bagi pembayaran hutang pelbagai agensi serta pembayaran pajakan kini berjumlah RM1,087.3 bilion atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.
Dr Mahathir berkata tindakan dua Perdana Menteri terdahulu menukar hala tuju menyebabkan negara gagal mencapai Wawasan 2020.
Namun beliau yakin Malaysia mampu mencapai status negara membangun dalam tempoh beberapa tahun lagi. - BHM