Topik diikuti
Pergi ke BHkuDr M tolak tawaran Jho Low bagi dapatkan imuniti berkaitan 1MDB: Laporan
Dr M tolak tawaran Jho Low bagi dapatkan imuniti berkaitan 1MDB: Laporan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, menolak tawaran Low Taek Jho bahawa dia akan menggugurkan tuntutannya terhadap aset yang dibekukan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai balasan bagi imuniti daripada pendakwaan berhubung skandal dana kerajaan 1Malaysia Development Berhad, lapor akhbar Wall Street Journal (WSJ), yang menukil sumber.
Menurut WSJ, Tun Dr Mahathir menolak tawaran itu melalui perantara.
Low, seorang peniaga yang dikenali juga sebagai Jho Low, dikatakan dalang di sebalik skandal pengubahan wang haram berjumlah berbilion dolar di 1MDB. Dia berkata dia hanya seorang penasihat tidak rasmi kepada dana itu, dan menafikan sembarang salah laku.
Low dipercayai menetap di Hong Kong, Macau dan China.
Agensi berita Bloomberg melaporkan sebelum ini bahawa pihak berkuasa Malaysia telah mengeluarkan waran bagi penangkapan Low pada 7 Jun, menukul sumbernya.
Menurut WSJ, Malaysia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan China tetapi menggunakan saluran komunikasi lain dengan Beijing untuk membuat Low pulang ke Malaysia.
Tun Mahathir sebelum ini memberitahu WSJ undang-undang Malaysia tidak membenarkan keterlibatan Low dalam skandal 1MDB dibiarkan sebagai balasan bagi kerjasamanya dalam mengesan ke mana wang itu pergi.
Penerbitan berpangkalan di Amerika itu juga melaporkan bahawa Low memberitahu rakan-rakannya sebelum pilihan raya umum Malaysia pada 9 Mei bahawa dia berasa selamat kerana mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak melindunginya. Gabungan Barisan Nasional (BN) Datuk Najib digulingkan dalam pilihan raya itu, dan beliau sedang disiasat bagi hubungannya dengan skandal 1MDB.
Sepanjang bulan lalu, agensi antirasuah Malaysia menyerbu kediaman yang dikaitkan dengan Datuk Najib dan menyoal mantan perdana menteri itu dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, mengenai sebuah bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.