PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad bertekad membawa Malaysia ke puncak kegemilangan yang pernah dikecapinya.

"Negara kita sebelum ini amat dihormati, tetapi kedudukan kita pada masa ini tidak seperti dahulu. Kita mesti mengembalikan negara kita (ke kedudukan itu) dan memastikan ia akan dianggap tinggi dan dihormati sekali lagi," kata Dr Mahathir dalam ucapannya kepada pegawai pemerintah di Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin (21 Mei).

Beliau meminta pegawai awam untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pentadbiran negara.

"Selagi saya tidak melanggar sebarang undang-undang, saya berharap kamu semua akan memberikan kerjasama penuh kepada saya sebagai Perdana Menteri," ujar Dr Mahathor, berucap kepada kakitangan di (PMO) buat julung-julung kali.

Menurut Dr Mahathir, perkara ini amat diperlukan, supaya pemerintah boleh mencari jalan untuk menguruskan dan menyelesaikan hutang Malaysia, yang kini bernilai RM1 trilion ($340 bilion)

[embed]https://twitter.com/chedetofficial/status/998366315386568704[/embed]

"Saya perlu menyatakan bahawa pihak yang telah membuat kesalahan akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dan pasangan itu tiba di PMO pada 8.20 pagi untuk menghadiri mesyuarat bulanan di sana.

Beliau disambut oleh Ketua Setiausaha kepada Pemerintah Tan Sri Dr Mohd Ali Hamsa dan Setiausaha Agung Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Kakitangan yang hadir memberi tepukan gemuruh apabila Dr Mahathir naik ke pentas.

Inilah kali pertama Dr Mahathir berucap kepada pegawai awam sejak menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei.

Pada 14 Mei, Dr Mahathir memulakan tugasan rasmi sebagai Perdana Menteri di Yayasan Kepimpinan Perdana.