MERSING: Dua daripada tiga penyelam yang hilang di Pulau Tokong Sanggol, di sini pada Rabu ditemui selamat oleh nelayan tempatan kira-kira jam 1 pagi semalam.
Mereka ialah penyelam warga Britain, Adrian Peter Chesters, 46 tahun, dan wanita warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18 tahun.
Bagaimanapun anak Adrian Peter, Nathen Renze, 14 tahun, yang juga warga Belanda masih hilang, lapor Berita Harian Online semalam.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata kedua-dua mangsa ditemui di perairan selatan Pengerang berhampiran sempadan perairan Indonesia.
"Dua mangsa berkenaan yang hanyut telah selamat ditemui 1 pagi tadi oleh nelayan tempatan. Nelayan berkenaan menghubungi pihak polis, mangsa kemudian diselamatkan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor dan dihantar ke darat.
"Mangsa kini berada di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang bagi rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil. Seorang lagi mangsa Nathen Renze masih belum ditemui dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan," katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini semalam.
Pada Rabu lalu, empat penyelam warga asing hilang ketika aktiviti latihan selam di Pulau Tokong Sanggol sebelum penyelam warga Norway, Kristine Grodem, 35 tahun, ditemui selamat pada Khamis lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg