KAHIRAH: Dua jemaah umrah warga Mesir terkorban manakala 46 yang lain cedera selepas bas yang membawa mereka dari Madinah ke Makkah terbabit dalam kemalangan berhampiran bandar Al-Jumum, Arab Saudi.

Kementerian Pelancongan Mesir pada 6 September berkata 21 daripada mereka yang cedera telah dibenarkan keluar dari hospital selepas doktor mengesahkan keadaan mereka stabil.

Mereka kemudian dibawa ke hotel penginapan masing-masing, sementara 25 lagi masih dirawat di hospital.

Menurut Kementerian Luar Mesir, bas berkenaan membawa 47 jemaah Mesir ketika kemalangan berlaku pada petang 5 September berhampiran Al-Jumum, dalam perjalanan dari Madinah menuju ke Makkah untuk menunaikan ibadah umrah.

Kementerian itu sebelum ini berkata kebanyakan mangsa mengalami kecederaan ringan hingga sederhana, dengan tujuh daripada mereka dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Butiran mengenai keadaan terkini tujuh mangsa berkenaan tidak diberikan.

Susulan kemalangan itu, pegawai konsular Mesir di Jeddah menghantar satu pasukan ke lokasi kejadian bagi memeriksa keadaan mangsa dan memastikan mereka menerima rawatan perubatan yang diperlukan.

Pegawai Mesir turut berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi menguruskan prosedur pengebumian dua jemaah yang terkorban.

Mereka juga mengikuti siasatan pihak berkuasa Arab Saudi bagi menentukan punca kemalangan tersebut.

Setakat ini, butiran mengenai bagaimana kemalangan itu berlaku belum diumumkan.

Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dua mangsa yang terkorban dan mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada pihak berkuasa Arab Saudi atas tindakan pantas dan bantuan yang diberikan kepada jemaah Mesir selepas kemalangan itu.

Kementerian Luar Mesir berkata pihaknya akan terus memberikan bantuan perubatan dan sokongan lain kepada jemaah umrah yang terjejas.

Ia juga akan terus berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memantau keadaan mangsa sehingga mereka dapat pulang ke Mesir.

Kemalangan itu berlaku ketika jutaan umat Islam dari seluruh dunia melakukan perjalanan ke Arab Saudi setiap tahun untuk menunaikan ibadah umrah.

Umrah merupakan ibadah yang melibatkan kunjungan ke Kaabah di Makkah dan pelaksanaan beberapa ibadah tertentu.

Berbeza dengan ibadah haji yang dilaksanakan pada waktu tertentu dalam bulan Zulhijah, umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun.

Tiada kuota tahunan tetap bagi jumlah jemaah umrah seperti yang dikenakan bagi ibadah haji.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Arab Saudi mengawal kemasukan jemaah melalui peraturan visa serta pengurusan kapasiti di tempat-tempat suci, khususnya di Makkah dan Madinah. - Agensi berita