Topik diikuti
Pergi ke BHkuDua lelaki Uyghur dihukum mati atas pengeboman Kuil Erawan 2015
Dua lelaki Uyghur dihukum mati atas pengeboman Kuil Erawan 2015
Serangan di kuil Hindu lokasi pelancongan paling popular di Bangkok ragut 20 nyawa termasuk seorang rakyat S’pura lebih 10 tahun lalu
Dua lelaki Uyghur dihukum mati atas pengeboman Kuil Erawan 2015
BANGKOK: Mahkamah Thailand pada 11 Jun menjatuhkan hukuman mati terhadap dua lelaki etnik Uyghur dari wilayah Xinjiang, China, selepas didapati bersalah dalam pengeboman di pusat Bangkok pada 2015 yang mengorbankan 20 orang termasuk seorang rakyat Singapura.
Kedua-dua tertuduh, Yusufu Mieraili dan Bilal Mohammed, didakwa meletakkan bom di Kuil Erawan di pusat komersial Bangkok pada Ogos 2015.
Serangan itu turut mencederakan lebih 120 orang.
Kuil Hindu Erawan merupakan antara lokasi pelancongan paling popular di Bangkok dan sering dikunjungi pelancong asing terutama dari China.
Antara mangsa yang terbunuh ialah lima warga China dan dua penduduk Hong Kong.
Dalam kenyataan mahkamah, hakim berkata tindakan kedua-dua tertuduh melibatkan beberapa kesalahan serius termasuk pembunuhan terancang yang membawa hukuman mati.
“Tindakan kedua-dua defendan merupakan beberapa kesalahan berasingan,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua tertuduh sebelum ini menafikan semua pertuduhan terhadap mereka.
Peguam salah seorang tertuduh, Encik Choochat Kanpai, berkata mereka akan mengemukakan rayuan dalam tempoh sebulan.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas pengeboman tersebut, namun pakar keselamatan percaya serangan itu berkait dengan tindakan Thailand menghantar pulang lebih 100 etnik Uyghur ke China beberapa minggu sebelum kejadian.
Uyghur ialah kelompok minoriti Muslim dari wilayah Xinjiang di barat laut China.
Ramai etnik Uyghur mendakwa mereka melarikan diri dari Xinjiang akibat penindasan budaya dan agama, namun Beijing menolak dakwaan tersebut.
China sejak sekian lama dikritik kerana didakwa mengenakan sekatan ketat terhadap kebebasan agama dan budaya di Xinjiang.
Beijing juga dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia termasuk menahan sekitar sejuta etnik Uyghur dan minoriti Muslim lain di kem tahanan, dakwaan yang dinafikan pemerintah China.
Perbicaraan kes pengeboman itu mengambil masa lebih 10 tahun sebelum keputusan dicapai.
Pendakwa raya terpaksa mengumpul keterangan daripada ratusan saksi selain berdepan masalah mendapatkan jurubahasa sesuai untuk kedua-dua tertuduh.
Prosiding turut tertangguh akibat pandemik Covid-19 dan beberapa masalah teknikal lain.
Dalam satu insiden, jurubahasa bagi tertuduh turut berdepan pertuduhan berkaitan dadah yang menyebabkan perbicaraan sekali lagi tertunda.
Tidak lama selepas serangan itu, polis Thailand menamakan 17 suspek tetapi hanya Mieraili dan Mohammed berjaya ditahan pada peringkat awal siasatan.
Pihak berkuasa Thailand ketika itu turut dikritik kerana siasatan yang dianggap tidak telus dan dilihat semakin perlahan selepas penahanan kedua-dua suspek.
Pada 2017, seorang wanita Thailand bernama Wanna Suansan ditahan sebaik tiba di Bangkok berdasarkan waran berkaitan pengeboman kuil tersebut.
Beliau didakwa atas cubaan membunuh, bersubahat membunuh dan memiliki bom serta senjata, namun dibebaskan mahkamah pada 2024.
Serangan bom di Kuil Erawan berlaku ketika Thailand di bawah pemerintahan junta tentera yang semakin rapat dengan Beijing.
Thailand sebelum ini menjadi laluan transit penting bagi etnik Uyghur yang cuba melarikan diri dari China.
Pada Februari 2025, Thailand sekali lagi menghantar pulang puluhan etnik Uyghur ke China walaupun menerima amaran daripada kumpulan hak asasi manusia bahawa mereka mungkin berdepan penindasan dan penganiayaan.
Langkah itu turut menerima kecaman segera daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Walaupun tragedi pengeboman berlaku hampir sedekad lalu, Kuil Erawan masih kekal sebagai lokasi tumpuan pelancong terutama dari China.
Namun beberapa pelancong China yang ditemui AFP sebelum keputusan mahkamah berkata mereka tidak mengetahui mengenai kes tersebut.
“Saya tidak pernah dengar tentangnya,” kata seorang wanita muda dari China.
Seorang lelaki China yang mengaku datang ke kuil itu setiap tahun pula enggan mengulas mengenai pengeboman 2015.
“Tempat ini baik untuk berdoa,” katanya sebelum berlalu pergi.
Polis Thailand terus memperketat kawalan keselamatan di kawasan pelancongan utama Bangkok susulan kebimbangan ancaman keselamatan rentas sempadan dan aktiviti kumpulan militan antarabangsa di rantau Asia Tenggara. – Agensi berita.
