SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Dua wanita di Banten ditahan kes pijak Al-Quran

Dua wanita di Banten ditahan kes pijak Al-Quran

Apr 13, 2026 | 2:42 PM

Dua wanita di Banten ditahan kes pijak Al-Quran

pijak Al-Quran
Seorang pegawai polis menyoal siasat seorang wanita yang dituduh menghina agama di Balai Polis Malingping, Kabupaten Lebak, Banten, pada 11 April. - Foto BUDIMAN

JAKARTA: Polis Indonesia menahan dua wanita di wilayah Banten, Jawa, selepas satu video tular di media sosial menunjukkan seorang daripada mereka memijak Al-Quran, mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat di negara majoriti Muslim itu.

Kedua-dua suspek, yang hanya dikenali sebagai NL dan MT, berdepan tuduhan menghina agama dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan di bawah undang-undang penghinaan agama Indonesia.

Undang-undang itu melarang sesiapa sahaja daripada membuat kenyataan yang menghina mana-mana daripada enam agama rasmi di negara itu atau menghalang penganut daripada mengamalkan agama masing-masing.

Jurucakap polis Banten berkata kedua-duanya telah mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.

“Individu yang memijak Al-Quran dan yang mengarahkannya bersumpah telah mengakui perbuatan mereka dan kini telah ditetapkan sebagai suspek,” katanya.

Dalam satu video permohonan maaf yang dikongsi di media sosial, MT mendakwa tindakannya dilakukan di bawah paksaan oleh NL.

“Saya memohon maaf kepada semua pihak, khususnya umat Islam. Saya tidak berniat menghina agama, saya bertindak di bawah tekanan,” katanya.

Menurut MT, kejadian itu berpunca daripada tuduhan mencuri minyak wangi dan bedak muka di sebuah salun milik NL di daerah Malingping, Lebak.

Beliau menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa dipaksa bersumpah dengan memijak Al-Quran bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.

“Saya ditekan. Jika saya enggan, saya akan dilabel sebagai pencuri. Saya hanya cuba mempertahankan diri,” katanya.

MT turut merayu simpati dengan menyatakan beliau mempunyai dua anak kecil.

“Mereka juga terkesan walaupun saya tidak bersalah,” katanya.

Polis memaklumkan NL berdepan pertuduhan lebih berat dengan hukuman maksimum lima tahun penjara, manakala MT dikenakan pertuduhan lebih ringan dengan hukuman antara satu hingga tiga tahun.

Namun, pihak berkuasa tidak mendedahkan secara terperinci peruntukan undang-undang yang digunakan dalam kes tersebut.

Di bawah Kanun Jenayah Indonesia yang baharu, kesalahan menghina agama diperuntukkan di bawah Artikel 300 dan 301 dengan hukuman maksimum penjara lima tahun di Indonesia.

Video kejadian itu tersebar luas di media sosial dan mencetuskan reaksi marah dalam kalangan masyarakat.

Insiden tersebut berlaku apabila NL menuduh MT mencuri barangan miliknya sebelum memaksa wanita itu bersumpah sambil memijak Al-Quran, dan merakam kejadian tersebut.

Undang-undang menghina agama di Indonesia sering menjadi kontroversi, dengan kumpulan hak asasi manusia mendakwa ia kerap disalah guna.

Pada 2017, bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok, dipenjarakan hampir dua tahun atas tuduhan menghina agama.

Pada 2024, seorang pelawak pula dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas membuat jenaka mengenai nama Muhammad.

Indonesia merupakan negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia, dengan lebih 240 juta penganut. –Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg