BEIJING: Hidupan laut dugong (gambar) iaitu haiwan yang pernah disalah anggap sebagai ikan duyung oleh kelasi-kelasi kapal suatu ketika dahulu, diisytiharkan pupus di China baru-baru ini, lapor The Washington Post.
Ia diisytiharkan pupus setelah tiada sebarang rekod atau bukti menunjukkan bahawa dugong wujud di negara tersebut sejak 2008, menurut satu penyelidikan baru kelmarin.
Bilangan mamalia laut itu merosot di China dari 1970-an dan sebelum 2008.
Haiwan tersebut diancam secara global oleh aktiviti manusia seperti memancing, pelanggaran dengan kapal dan kehilangan habitat yang disebabkan oleh manusia.
Para saintis pemuliharaan dari Persatuan Zoologi London (ZSL) dan Akademi Sains China menjalankan tinjauan dan menyemak data lampau untuk mencapai kesimpulan tersebut.
Penulis bersama kajian tersebut, Profesor Samuel Turvey berkata: "Kemungkinan kehilangan dugong di China adalah kerugian yang amat besar."
Ketiadaan haiwan itu bukan sahaja akan memberi kesan ke atas fungsi ekosistem tetapi ia berfungsi sebagai peringatan yang menyedihkan bahawa kepupusan boleh berlaku sebelum tindakan pemuliharaan yang berkesan dapat dibangunkan, katanya. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg