ZURICH: Dunia telah pun mencapai situasi "aparteid vaksin", kata Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, dan bukan setakat berisiko mencapai keadaan itu.
Ini kerana terdapat jurang besar antara negara kaya yang mempunyai lebih daripada mencukupi bekalan vaksin Covid-19 dengan negara miskin yang tidak mempunyai bekalan vaksin itu.
"Masalah besarnya ialah kurangnya perkongsian. Jadi huraiannya ialah perbanyakkan perkongsian," kata beliau pada satu acara maya Forum Damai Paris kelmarin.
Awal dari ini, Dr Tedros meminta pengeluar vaksin Covid-19 membekalkan vaksin itu kepada kemudahan perkongsian vaksin sejagat Covax lebih awal dari yang dijadualkan ekoran kekurangan bekalan yang disebabkan gangguan eksport India.
Skim Covax, yang membekalkan vaksin kepada negara miskin, sangat bergantung pada eksport vaksin AstraZeneca daripada Institut Serum India, tetapi kebanyakan daripadanya kini digunakan oleh negara itu sendiri untuk melawan gelombang jangkitan kedua yang besar.
Ketua Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) sebelum ini juga meminta kumpulan negara kaya G7 menyumbangkan bekalan vaksin mereka sebagai langkah kecemasan bagi mengatasi kekurangan bekalan vaksin sejagat, yang dianggarkan berjumlah 140 juta dos pada akhir bulan ini.
"Walaupun kami menghargai usaha AstraZeneca yang terus meningkatkan kepantasan dan jumlah penghasilan mereka, kami memerlukan pengeluar lain untuk mengikutinya," kata Dr Tedros dalam satu taklimat maya.
Secara khusus, beliau meminta syarikat pengeluar vaksin Pfizer memberi sekitar 40 juta dos lebih awal, iaitu pada separuh kedua tahun ini, dan syarikat Moderna menyediakan dos yang dijanjikannya pada tahun ini dan bukan tahun depan.
"Kami memerlukan dos sekarang dan meminta mereka membekalkannya lebih awal dan secepat mungkin," katanya.
Anggota G7 Perancis telah memberi sebilangan bekalan dos AstraZeneca kepada Covax.
Penasihat kanan WHO Bruce Aylward mempertahankan peranan Covax setakat ini dalam membekalkan 65 juta dos kepada 120 negara, menganggapnya sebagai satu kejayaan.
Tetapi negara kaya perlu menyumbang lebih banyak vaksin memandangkan mereka telah memvaksinasi penduduk mereka yang paling rentan, katanya.
"Kami sedang bergerak ke arah yang betul. Namun kami tidak bergerak dengan cukup pantas dan kami tidak bergerak dengan jumlah yang cukup besar," tambahnya.
Dalam satu perkembangan lain, WHO menyambut baik berita mengenai rancangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, hendak membekal lebih 20 juta dos vaksin kepada masyarakat antarabangsa.
Ini kali pertama Amerika berkongsi vaksin yang diluluskan bagi kegunaan domestiknya.
Ia isyarat penting daripada Rumah Putih sedang pentadbiran Biden berusaha menggunakan bekalan vaksin negara itu sebagai alat diplomatik memandangkan pandemik di Amerika kian terkawal.
"Sama seperti dalam Perang Dunia Kedua apabila Amerika menjadi tunggak demokrasi, dalam peperangan melawan pandemik Covid-19, negara ini akan menjadi tunggak vaksin," kata Encik Biden.
Beliau menghadapi tekanan agar berkongsi vaksin demi membantu mengatasi keadaan yang memburuk dari India ke Brazil, tempat yang sebilangan pakar kesihatan bimbang varian koronavirus baru dan lebih menular dapat merosakkan keberkesanan vaksin sedia ada. - Reuters.
"Masalah besarnya ialah kurangnya perkongsian. Jadi huraiannya ialah perbanyakkan perkongsian." - Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg