Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PERASMIAN PRESIDEN BARU AMERIKA

Dunia ghairah sambut era kepimpinan Biden

Jan 22, 2021 | 05:30 AM



PARIS: Pemimpin dunia rata-rata dilaporkan ghairah hendak menjalin kerjasama dengan Encik Joe Biden, ahli Demokrat yang mengangkat sumpah sebagai presiden yang ke-46 Amerika Syarikat kelmarin.



Mereka melahirkan keghairahan sedemikian setelah melalui tempoh empat tahun Amerika berada di bawah pimpinan mantan presiden Donald Trump.



BARAT



Menurut kenyataan Istana Buckingham, Ratu Elizabeth II telah mengirim pesanan peribadi kepada Encik Biden sebelum beliau mengangkat sumpah. Namun, kandungan pesanan itu tidak didedahkan.



Sewaktu berucap di Parlimen, Perdana Menteri Britain Boris Johnson berkata:



"Saya menantikan peluang bekerjasama dengannya (Encik Biden) berserta pentadbirannya, memperkukuh kerjasama antara negara kita dan mengusahakan kepentingan bersama, daripada isu menangani perubahan iklim dan kebangkitan pascapandemik Covid-19 kepada tahap keselamatan merentasi Lautan Atlantik."



Sebelum ini, Encik Johnson dikecam atas persahabatan eratnya dengan Encik Trump.



Daripada Russia, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata mereka mengharapkan "hubungan yang baik bersama Amerika" manakala kenyataan kementerian ehwal luarnya berkata mereka menjangkakan pendekatan yang lebih membina apabila membincangkan isu pengawalan senjata.



Amerika dan Russia dijangka melanjutkan perjanjian senjata nuklear yang dimeterai pada 2010 setelah Encik Biden mula bertugas.



Perjanjian mutakhir antara dua negara tersebut ialah masing-masing dihadkan memiliki 1,500 kepala ledak nuklear. Perjanjian itu tamat 5 Februari ini.



Wakil ekonomi terbesar Eropah, Jerman, iaitu presiden Frank-Walter Steinmeier berkata beliau "rasa sangat lega" Encik Biden menggantikan Encik Trump sebagai presiden.



Beliau menyifatkannya sebagai "hari yang menggembirakan buat falsafah demokrasi".



Sehubungan itu, Jerman ghairah memahami bahawa Amerika kembali sebagai "rakan yang sangat diperlukan" dalam usaha menangani pandemik Covid-19, perubahan iklim, isu keselamatan, pengawalan dan gencatan senjata, serta pelbagai konflik lain di dunia yang harus diselesaikan secepat mungkin.



Presiden Perancis Emmanuel Macron menerbitkan ciapan dalam bahasa Inggeris di Twitter:



"Selamat sejahtera kepada semua warga Amerika pada hari mulia ini! Kami bersama anda. Kita akan menjadi lebih kuat tatkala menghadapi cabaran masa kini. Kita akan menjadi lebih kuat mahu membina masa depan. Kita akan menjadi kuat hendak melindungi bumi ini. Selamat kembali ke Perjanjian Paris!"



Encik Macron merujuk kepada perjanjian 2015 melibatkan semua negara supaya berusaha mengurangkan pengeluaran gas karbon demi mengehadkan fenomena pemanasan global.



Di bawah kepimpinan Encik Trump, Amerika mengundurkan diri daripada perjanjian itu November lalu.



TIMUR TENGAH



Pemimpin Kuwait, Qatar, Bahrain, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) juga mengirimkan ucapan tahniah.



Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata beliau "tidak sabar" hendak menjalin kerjasama dengan Encik Biden demi "mencapai keamanan dan kestabilan pada peringkat serantau dan dunia".



Presiden Iran Hassan Rouhani turut mengalu-alukan pemergian Encik Trump yang disifatkannya sebagai penzalim. Sebelum ini, Teheran sering menyeru Washington supaya menghapuskan sekatan ke atas rancangan nuklearnya.



"Kami menjangka (pentadbiran Encik Biden) kembali ke cakupan undang-undang dan perjanjian malah cuba dalam tempoh empat tahun mendatang ini, kalau boleh, untuk melupuskan titik hitam empat tahun lalu," ujar Encik Rouhani.



Dalam hal ini, pihak pentadbiran Encik Biden mahu Amerika menyokong perjanjian besar dengan Iran itu berbekalkan syarat pematuhan yang ketat ke atas negara Timur Tengah itu.



Sebelum ini, Encik Trump telah menarik balik sokongan Amerika terhadap perjanjian itu.



Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pula menggesa Encik Biden supaya memperkukuh hubungan dua hala yang sedia utuh antara negara masing-masing.



"Saya ghairah menjalin kerjasama dengan anda untuk memperkukuh kerjasama Amerika dan Israel, memperluas keamanan Israel bersama Dunia Arab dan mendepani cabaran bersama misalnya ancaman dari Iran," ujarnya menerusi rakaman video.



ASIA



Perdana Menteri India Narendra Modi turut menerbitkan ciapan:



"Tahniah kepada @JoeBiden atas pelantikannya sebagai Presiden Amerika. Saya menantikan peluang bekerjasama dengannya demi memperkukuh kerjasama strategik Amerika dan India.



"Tahniah juga buat @KamalaHarris atas pelantikan sebagai Naib Presiden. Pelantikan ini sangat bersejarah. Menantikan peluang berinteraksi dengannya agar hubungan Amerika dan India menjadi lebih utuh. Kerjasama Amerika dan India memberi manfaat kepada bumi kita ini."



Jurucakap Kementerian Ehwal Luar China Hua Chunying, dalam sidang media, menyatakan:



"Sepanjang empat tahun lalu, pentadbiran Amerika telah melakukan kesilapan besar dari segi tanggapan berstrateginya terhadap China... mencampuri urusan dalaman China, menyekat dan memfitnah China seraya meruntuhkan jalinan persahabatan China dan Amerika.



"(Pentadbiran Biden) harus memandang China secara rasional dan objektif, mencari jalan tengah dan, berteraskan matlamat saling menghormati, kesamarataan dan kepentingan bersama, anjakkan hubungan China dengan Amerika kembali ke arah pembangunan yang baik dan stabil secepat mungkin."



Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga turut menerbitkan ciapan di Twitter:



"Tahniah kepada Presiden @JoeBiden dan Naib Presiden #KamalaHarris atas pelantikan ini. Jepun dan Amerika rakan kerjasama yang memiliki ikatan erat berteraskan nilai-nilai yang sama. Saya menantikan kerjasama dengan anda dan pasukan bagi memperkukuh persahabatan ini dan mewujudkan kawasan Indo-Pasifik yang terbuka." - AFP, Reuters.




DARI BRITAIN



"Saya menantikan peluang bekerjasama dengannya (Encik Biden) berserta pentadbirannya, memperkukuh kerjasama antara negara kita dan mengusahakan kepentingan bersama, daripada isu menangani perubahan iklim dan kebangkitan pascapandemik Covid-19 kepada tahap keselamatan merentasi Lautan Atlantik."
- Perdana Menteri Britain Boris Johnson.



DARI NEW ZEALAND



"Kami mempunyai persamaan dari segi pematuhan undang-undang antarabangsa dan saya mengalu-alukan niat Presiden Biden hendak memasuki semula Perjanjian Paris serta tidak mengeluarkan negaranya daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Teras perpaduan yang dipegang Encik Biden selaras dengan warga New Zealand."
- Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern.



AUSTRALIA



"Tahniah Presiden @JoeBiden dan Naib Presiden @KamalaHarris atas pelantikan ini. Kerjasama Australia dengan Amerika semakin penting dewasa ini. Saya mengharapkan kejayaan buat anda berdua dan menantikan peluang bekerjasama rapat dengan pentadbiran baru."
- Perdana Menteri Australia Scott Morrison.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >