NEW YORK: Dunia melepasi 400 juta kes koronavirus yang diketahui pada Selasa (8 Feb), menurut Pusat Kejuruteraan dan Sains Sistem di Universiti Johns Hopkins, hanya sebulan selepas mencapai 300 juta. Ia adalah peningkatan yang mengejutkan didorong oleh varian Omicron yang sangat mudah menular sedang pemerintah dan individu di serata dunia bergelut dengan cara untuk menghadapi tahap wabak itu yang seterusnya. Ia mengambil masa lebih setahun untuk dunia mencapai 100 juta jangkitan yang disahkan: Kes pertama dikenal pasti pada akhir 2019, dan yang ke-100 juta pada Januari 2021. Hanya tujuh bulan diperlukan untuk menggandakan jumlah itu, dan kini enam bulan untuk menggandakannya sekali lagi. Jumlah kes harian telah mula menurun, tetapi purata lebih daripada 2.7 juta jangkitan telah dilaporkan setiap hari. Bilangan kes sebenar sudah pasti lebih tinggi, dan mungkin secara drastik, lapor The New York Times. Banyak keputusan ujian pantas di rumah tidak dilaporkan secara rasmi, dan tidak semua orang yang dijangkiti menjalani ujian kerana mereka mungkin kekurangan akses, tidak mempunyai simptom atau memilih untuk tidak melakukannya. Memandangkan virus itu telah bermutasi, hampir lima bilion orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin koronavirus, dan kajian menunjukkan bahawa vaksin masih menawarkan perlindungan terhadap hasil yang paling teruk. Bentuk virus semasa yang dominan - Omicron - kurang berkemungkinan membawa kepada kemasukan ke hospital atau kematian, jadi pengiraan kes semata-mata menjadi kurang berguna sebagai metrik, sekurang-kurangnya di tempat yang mempunyai kadar vaksinasi yang lebih tinggi atau jangkitan terdahulu. Tetapi saintis telah memberi amaran bahawa perlindungan terhadap jangkitan mungkin berkurangan dari masa ke masa, dan varian akan datang mungkin lebih mampu untuk mengetepikan pertahanan kita. Namun, banyak pemerintah telah melonggarkan sekatan sedang lonjakan yang didorong oleh Omicron di banyak tempat telah menurun. Australia tidak lama lagi akan membuka semula sempadannya kepada pelawat yang telah divaksin. Sweden melonggarkan kebanyakan peraturan pandemiknya, mengikut jejak langkah Denmark dan Norway. Langkah itu mencerminkan keletihan yang mendalam yang dialami oleh orang ramai dua tahun selepas pandemik itu melnda, dan pemahaman bahawa koronavirus itu akan kekal. Tetapi bagaimana rupanya masih tidak jelas. Keendemikan (endemicity) boleh, tetapi tidak semestinya, bermakna ancaman ringan. Selsema biasa adalah endemik, tetapi begitu juga malaria di banyak bahagian dunia. Koronavirus mungkin akan menimbulkan ancaman yang lebih besar atau lebih kecil di tempat yang berbeza, bergantung pada kadar vaksinasi dan faktor lain. Varian baru boleh merumitkan lagi gambaran itu, terutamanya dengan berbilion orang di seluruh dunia masih belum divaksin. - NYTIMES