Duta Russia ditembak mati sewaktu rasmi pameran

ANKARA (Turkey) - Duta Besar Russia ke Turkey, Encik Andrey Karlov, 62 tahun, meninggal dunia setelah ditembak beberapa kali di bahagian belakang badan oleh seorang lelaki berusia 22 tahun ketika diplomat itu sedang menyampaikan ucapan semasa perasmian pameran fotografi di sini, petang semalam (Isnin).

Laporan BBC News menyatakan penembak merupakan seorang anggota polis, dan tindakannya itu adalah sebagai membantah penglibatan Russia dalam krisis di Aleppo.

Dikenali sebagai Mevlut Mert Aydintas, dia merupakan anggota polis pencegah rusuhan Ankara.

Dilaporkan, Mevlut berpakaian kemas dengan mengenakan sut dan tali leher hitam serta wajahnya dicukur bersih dan berdiri di belakang diplomat itu sewaktu mendiang sedang berucap di pameran tersebut.

Seorang saksi menceritakan: "Dia mengeluarkan pistol dan menembak duta besar dari belakang. Kami nampak dia terbujur di lantai dan kami berlari keluar."

Orang ramai berlindung di bilik-bilik berdekatan sedang tembak-menembak terus berlaku selama kira-kira 15 minit sebelum suspek ditembak mati.

Masih belum dapat dipastikan sekiranya dia ada kaitan dengan mana-mana kumpulan.

Pembunuhan kali ini berlaku sehari selepas berlakunya bantahan di Turkey terhadap sokongan Russia ke atas Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad.

Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, menyifatkan pembunuhan ini bertujuan menjejas hubungan negara itu dengan Russia.

Beliau telah bercakap dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, di telefon dan dalam satu pesanan video, berkata, kedua-dua mereka bersetuju bahawa ia merupakan satu tindakan "provokasi".

Menurutnya lagi, mereka yang ingin menjejas hubungan antara kedua-dua negara "tidakkan berupaya mencapainya".

Dalam ulasannya yang disiarkan di televisyen, Encik Putin berkata tindakan itu "jelas satu tindakan provokasi yang bertujuan menjejas pemulihan hubungan" dua hala dan "proses damai di Syria".

Sekumpulan penyiasat Russia akan tiba di Turkey bagi menyiasat kes itu, kata jurucakap Encik Putin, Encik Dmitry Peskov. - Agensi

Waktu Solat

Subuh
5:38
Syuruk
7:02
Zuhur
1:09
Asar
4:34
Maghrib
7:14
Isyak
8:29
3 HR PSI: 33
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.