'Jangan jadikan DUN Johor sangkar beruk' :Sultan Johor

ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu supaya tidak menjadikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula hari ini sebagai medan perbalahan politik dan perebutan kuasa. Sebaliknya, baginda bertitah semua 56 ADUN Johor perlu menggunakan sesi persidangan itu untuk membincangkan pelan tindakan bagi membantu rakyat serta membangunkan ekonomi negeri berkenaan. "Ahli Dewan tidak perlu berbahas atau membawa usul yang tidak berkenaan. Awak semua perlu pentingkan rakyat di luar yang sedang susah, kelaparan, hilang pekerjaan dan ada juga yang bertarung nyawa akibat penularan wabak COVID-19. "Ini bukan masa untuk berbalah, tetapi untuk bersatu dan bekerjasama. Jangan tanya orang lain apa yang sudah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihat dan cermin muka sendiri. "Ingin saya ingatkan DUN ini tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor. "Jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan mulia bukan dewan sangkar beruk," katanya. Sultan Ibrahim berkata demikian ketika merasmikan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 hari ini.- Agensi Berita

