KUALA LUMPUR: Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) kelmarin mengumumkan pelantikan pemangku Editor Kumpulan Berita Harian Malaysia (BHM), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, sebagai Editor Kumpulan BHM yang baru berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Dalam satu kenyataan, NSTP memaklumkan bahawa Datuk Ahmad Zaini menggantikan Datuk Saidon Idris yang bersara baru-baru ini.

Datuk Ahmad Zaini, 58 tahun, memulakan kerjayanya sebagai wartawan di Bernama pada 1984, sebelum menyertai BHM pada 18 Mac 1991 dan berkhidmat dengan akhbar Melayu terulung itu hingga kini.

Berbekalkan lebih 35 tahun pengalaman dalam bidang kewartawanan, Datuk Ahmad Zaini memegang pelbagai jawatan dalam editorial BHM, termasuk sebagai Ketua Biro BH Kedah, Penolong Editor Berita, Editor Berita, Ketua Editor Berita, Editor Bersekutu News & Digital, Editor Eksekutif Berita serta Editor Eksekutif Komersial & Hal Ehwal Semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Encik Mustapha Kamil Mohd Janor, berkata syarikat berbesar hati mengalu-alukan pelantikan Datuk Ahmad Zaini sebagai Editor Kumpulan BHM yang baru.

"Beliau adalah seorang tokoh yang sangat dihormati dalam kalangan pengamal kewartawanan dan pengalaman serta pengetahuan beliau berkenaan syarikat begitu berharga ketika kami berusaha untuk terus berkembang.

"Kami juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Saidon atas usaha murni yang beliau lakukan untuk mengembangkan jenama BH sehingga ke tahap sekarang.

"Kami yakin Ahmad Zaini akan dapat meneruskan legasi Saidon dan mampu menerajui BH khususnya bagi mengukuhkan lagi kedudukan NSTP sebagai penyedia berita terkemuka di Malaysia," katanya.

BHM adalah akhbar harian berbahasa Melayu terbitan NSTP, pertama kali diterbitkan pada 1 Julai 1957 sebagai akhbar arus perdana pertama di Malaysia, dengan Edisi Ahadnya, BH Ahad, dilancarkan tiga tahun kemudian pada 10 Julai 1960.

Menurut laporan Nielsen Consumer & Media View pada Januari hingga Disember 2021 dan 2020, BHM kini menjadi akhbar dengan edaran tertinggi di Malaysia dengan lebih 1.18 juta pembaca bagi edisi hariannya dan 906,000 pembaca bagi edisi Ahad.

BIODATA

Nama: Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman

Usia: 58 tahun

Permulaan Kerjaya:

  1. 1984: Wartawan di Bernama
  2. 18 Mac 1991: Wartawan di BHM

Pengalaman:

  1. Ketua Biro BH Kedah
  2. Penolong Editor Berita
  3. Editor Berita
  4. Ketua Editor Berita
  5. Editor Bersekutu 'News' & Digital
  6. Editor Eksekutif Berita; Editor Eksekutif Komersial & Hal Ehwal Semasa