EDITOR akhbar The Straits Times (ST), Encik Warren Fernandez, akan menyertai firma komunikasi global Edelman sebagai ketua eksekutifnya untuk rantau Asia-Pasifik bermula 25 Oktober ini.
Dalam satu kenyataan semelam, Edelman berkata Encik Fernandez, 56 tahun, akan menyertai pasukan kepimpinan eksekutif global syarikat itu dan melapor kepada presiden global dan ketua pegawai operasinya, Encik Matthew Harrington.
Encik Fernandez akan berpangkalan di Singapura dan menyelia lebih 1,300 pekerja Edelman di 21 pejabat firma itu di rantau Asia Pasifik.
Beliau menggantikan Encik Stephen Kehoe, yang meninggalkan Edelman pada Jun lalu untuk memberi tumpuan kepada keluarganya.
Langkah itu dibuat seminggu selepas Kumpulan SPH Media, mengumumkan beberapa perubahan kepada jawatan kepimpinan utama dalam bilik beritanya.
Ini termasuk pengunduran Encik Fernandez, yang juga ketua editor kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil (EMTM), untuk mencuba peluang profesional lain.
Dalam kenyataannya, Encik Harrington berkata:
"Pemahaman mendalam Warren tentang ekosistem berita dan media - dan pengalamannya mengubah saluran berita menjadi platform kandungan multimedia bersepadu - akan menjadi nilai tambah yang luar biasa kepada pelanggan dan pandangan serta keupayaan kami sendiri.
"Selain itu, organisasi kami akan mendapat manfaat daripada minat profesional dan akademik Warren yang telah lama wujud dalam politik dan dasar luar di tengah-tengah landskap geopolitik yang dinamik hari ini."
Encik Fernandez, yang telah menjadi editor ST sejak 2012, dan ketua editor EMTM sejak 2016, berkata: "Saya sangat teruja untuk menyertai firma yang saya kagumi dan bekerja dengannya, sebagai pelanggan dan rakan kongsi, selama ini."
"Saya berharap untuk mengetuai pasukan di Asia Pasifik dan bekerjasama dengan bakat peneraju industri di seluruh rangkaian globalnya," tambahnya lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg