WASHINGTON: Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata ia menjangkakan untuk mengemukakan permintaan bantuan kewangan kecemasan berjumlah AS$1.4 bilion ($1.9 bilion) daripada Ukraine kepada lembaga pengarahnya untuk dipersetujui seawal minggu depan, selain mendedahkan ia sedang mengadakan perbincangan mengenai pilihan-pilihan pendanaan dengan negara jiran Ukraine, Moldova.

Dalam kenyatannya, IMF berkata peperangan di Ukraine telah pun mengakibatkan kenaikan harga tenaga dan lain-lain barangan, serta menjadikan lebih 1 juta penduduk Ukraine sebagai pelarian di negara-negara Eropah.

Keadaan diburukkan lagi dengan sekatan ke atas Russia yang menjejas rakyat dan perniagaan di negara itu.

"Sedang keadaan sering berubah dan ramalan ekonomi bergantung pada ketidaktentuan ini, namun jelas kesan ekonomi yang amat meruncing sudah pun berlaku," kata dana itu lagi, menyusuli mesyuarat lembaga pengarah yang dipengerusikan Pengarah Urusan, Cik Kristalina Georgieva.

"Peperangan yang berterusan dan sekatan berkaitan juga akan meninggalkan kesan buruk kepada ekonomi global," tambah beliau, memberi amaran, sambil menjelaskan krisis tersebut telah menyebabkan kejutan kepada inflasi global dan kegiatan ekonomi ketika tekanan harga sudah pun melambung.

IMF menjelaskan lagi, kejutan pada harga barangan akan dirasakan seluruh dunia dan pemerintah perlu bersedia menyediakan sokongan kewangan pada rakyat yang memerlukan, yang akan paling terjejas oleh kenaikan harga makanan dan tenaga.

Kemusnahan ekonomi itu, menurut IMF, akan lebih meruncing sekiranya keadaan di Ukraine semakin buruk.

Sekatan meluas yang dikenakan ke atas Russia oleh Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan lain-lain akan menyebabkan impak yang besar kepada ekonomi global dan pasaran kewangan, dengan hampir kesemua negara akan merasakan kesannya, kata IMF lagi.

Mengenai Ukraine, IMF berkata selain korban nyawa yang menyedihkan, Ukraine juga berdepan dengan kelumpuhan ekonomi dengan pelabuhan serta lapangan terbang ditutup dan mengalami kerosakan, selain jalan raya dan jambatan.

"Sukar untuk menilai keperluan kewangan Ukraine buat masa ini, namun jelas negara itu berdepan dengan kos pemulihan semula yang signifikan," ujarnya. - Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti