Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PANDANGAN

Ekonomi Indonesia terus pulih

Pelancong kian bertambah, pelaburan meningkat dan inflasi menurun
May 07, 2023 | 05:30 AM



EKONOMI Indonesia terus menunjukkan prestasi lebih baik selepas tempoh pandemik Covid-19 dengan perangkaan terbaru menunjukkan ketibaan pelancong dan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat, manakala inflasi pula menurun.



Perkembangan itu pastinya satu berita baik buat presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (Jokowi), yang kini dalam tempoh satu tahun terakhir pemerintahannya.



Pilihan raya umum negara itu, termasuk pemilihan presiden, bakal diadakan pada Februari 2024, dan Encik Jokowi - yang memasuki penggal keduanya - tidak dibenarkan Perlembagaan Indonesia untuk bertanding lagi.



Bahkan sejak berlakunya wabak Covid-19 pada awal 2020, ekonomi negara paling ramai penduduk di Asia Tenggara itu agak terjejas dan hanya mula bangkit pada 2022.



Lebih memburukkan keadaan adalah berlakunya perang di Ukraine pada Februari 2022 menyebabkan rantaian bekalan terjejas dan kadar inflasi meningkat.



Ini termasuk kenaikan kos minyak, makanan dan keperluan asas lain seperti gandum dan baja tanaman.



Covid-19 dan kenaikan inflasi memberi kesan besar kepada ekonomi Indonesia yang memberi cabaran besar kepada pentadbiran Jokowi.



PELANCONG MENINGKAT



Namun, perangkaan terbaru biro perangkaan negara itu memberi suntikan positif apabila ia melaporkan bilangan pelancong asing yang meningkat 15.4 peratus pada Mac berbanding Februari.



Kenaikan pada Mac itu adalah paling tinggi dalam tempoh empat tahun. Negara dengan ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu merekodkan 809,960 ketibaan pelancong pada Mac berbanding 701,930 pada Februari.



"Ketibaan pelancong terus meningkat, tetapi masih belum kembali ke tahap prapandemik," kata Encik Margo Yuwono, ketua Statistik Indonesia, kepada media sambil menambah bahawa Indonesia telah menerima 1.31 juta pelancong pada Mac 2019.



Tiga pasaran terbesar adalah Malaysia, Singapura dan Australia.



Pada suku pertama 2023, Indonesia telah menerima 2.25 juta pelawat, kira-kira separuh daripada 5.5 juta pelawat bagi keseluruhan 2022.



Negara itu menyasarkan lebih 7 juta pelancong bagi 2023.



PENURUNAN INFLASI



Satu lagi berita baik buat pentadbiran Jokowi adalah inflasi.



Menurut data, kadar inflasi meningkat 4.33 peratus pada April, namun ia lebih rendah berbanding Mac iaitu 4.97 peratus.



Ini sekali gus mengurangkan tekanan kepada bank pusat Indonesia untuk menaikkan kadar faedah yang kini berada pada 5.75 peratus.



Bank Pusat Indonesia meramalkan inflasi utama akan kembali dalam sasarannya iaitu 2 hingga 4 peratus sebelum September ini.



"Kebimbangan terhadap inflasi nampaknya semakin surut dengan cepat, dipandu oleh usaha gigih pemerintah untuk menguruskan bekalan makanan dan oleh ketangkasan sektor swasta," kata pakar ekonomi Bank Danamon, Encik Irman Faiz, kepada Reuters.



"Di bawah prestasi dalaman dan luaran Indonesia, kami percaya Bank Indonesia akan mengekalkan kadar faedahnya pada 5.75 peratus buat masa ini," tambahnya.



Tindakan tidak mengetatkan dasar kewangan negara itu pula boleh membantu ekonomi Indonesia mencatat pertumbuhan lebih kukuh bagi 2023 dan juga 2024.



Lebih menarik, kadar inflasi lebih rendah pada April itu berlaku walaupun semasa bulan puasa Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri apabila orang ramai selalu berbelanja besar.



Encik Margo berkata memang berlaku kenaikan kos dari segi tambang pengangkutan dan harga minyak kenderaan selain harga barangan sempena Ramadan dan Aidilfitri.



Namun kenaikan itu, kata beliau, adalah lebih rendah berbanding tempoh musim perayaan Aidilfitri pada tahun-tahun sebelum ini.



KENAIKAN PELABURAN



Dalam satu lagi perkembangan positif, FDI di negara itu meningkat 20.2 peratus pada tempoh Januari-Mac (Q1), dengan industri logam merupakan penerima terbesar.



Menurut data kementerian, FDI itu berjumlah AS$11.96 bilion ($15.87 bilion).



Menerusi satu kenyataan, Menteri Pelaburan, Encik Bahlil Lahadalia, berkata:



"FDI kepada sektor perkilangan, terutamanya kepada industri logam pada suku pertama (Q1) menduduki tempat pertama... ini menunjukkan dasar pemerintah untuk memberi nilai tambah kepada sumber asli telah memberi kesan positif."



Singapura, Hongkong dan China membentuk bahagian terbesar FDI pada suku pertama dengan pelaburan masing-masing AS$4.3 bilion, AS$1.5 bilion dan AS$1.2 bilion, menurut data kementerian itu.



Kementerian Pelaburan telah menetapkan sasaran mahu menarik pelaburan AS$95.5 bilion pada 2023 ini.



Semua perkembangan pada awal 2023 pastinya merupakan berita gembira buat Encik Jokowi dan pentadbirannya.



Pertumbuhan ekonomi yang kukuh dengan inflasi rendah akan memberi legasi yang memberangsangkan sedang Encik Jokowi terus memberi tumpuan dalam memajukan negara itu yang penuh potensi namun selalu tidak dapat mencapainya atas pelbagai sebab, antaranya amalan rasuah dan ketirisan kewangan negara.



Mentelah, Encik Jokowi juga mahu meninggalkan satu lagi legasi besar - pembinaan ibu kota baru dikenali sebagai Nusantara, di Kalimantan Timur, dengan anggaran kos pembangunan mencecah AS$32 bilion.




"Kenaikan (ketibaan pelancong) pada Mac adalah paling tinggi dalam tempoh empat tahun. Negara dengan ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu merekodkan 809,960 ketibaan pelancong pada Mac berbanding 701,930 pada Februari.
Tiga pasaran terbesar adalah Malaysia, Singapura dan Australia.
Pada suku pertama 2023, Indonesia telah menerima 2.25 juta pelawat, kira-kira separuh daripada 5.5 juta pelawat bagi keseluruhan 2022.
Negara itu (Indonesia) menyasarkan lebih 7 juta pelancong bagi 2023.''
- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >