LONDON: Bencana El Nino akan kembali lagi dengan keadaan lebih buruk hujung 2023, daripada taufan tropika melanda kepulauan Pasifik hingga terjadinya hujan lebat di Amerika Selatan dan kemarau di Australia.
Setelah tiga tahun terjadinya iklim La Nina, yang biasanya menyebabkan suhu di dunia rendah, kemarau El Nino kali ini kembali beraksi, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis oleh Pusat Ramalan Iklim, Pentadbiran Atmosfera dan Kelautan Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA).
El Nino terjadi apabila suhu air luar biasa panasnya di Pasifik Timur, berhampiran pesisiran Amerika Selatan, dan sering disusuli dengan keadaan angin bertiup perlahan ke arah timur.
“Pada Mei, keadaan El Nino yang lemah terjadi apabila suhu purata paras air meningkat di serata bahagian khatulistiwa Lautan Pasifik,” menurut kenyataan itu.
Kali terakhir El Nino terjadi, pada 2016, dunia mengalami keadaan paling panas. Dijangkakan suhu akan meningkat lebih tinggi pada 2023 atau 2024 ini.
Ramai pakar merujuk kepada dua agensi untuk mengesahkan terjadinya El Nino – iaitu NOAA dan Biro Kaji Cuaca (BOM) Australia. Kedua-dua agensi ini menggunakan kaedah berbeza untuk menentukan terjadinya El Nino, dengan Australia menggunakan kaedah yang lebih ketat.
NOAA menentukan terjadinya El Nino apabila suhu di Lautan Pasifik di bahagian timur dan tengah khatulistiwa mencapai 0.5 darjah Celsius lebih tinggi daripada biasa dicatatkan pada bulan sebelumnya, dan kekal atau dijangka berterusan selama lima bulan berikutnya.
Sementara BOM Australia menunggu hingga suhu lebih tinggi, dengan kawasan utama di timur Pasifik mencatat suhu 0.8 darjah Celsius lebih tinggi daripada biasa.
Pada Selasa, Australia membuat kenyataan dengan mengatakan bahawa kemungkinan 70 peratus El Nino akan terjadi pada 2023.
NOAA mengatakan terdapat kemungkinan 56 peratus El Nino akan mencapai kemuncaknya – biasanya dalam musim sejuk Kutub Utara – bererti suhu pada paras air di Pasifik Timur sekurang-kurangnya 1.5 darjah Celsius lebih tinggi daripada biasa.
Ini boleh meninggalkan kesan lebih buruk – daripada terjadinya kemarau hinggalah kepada taufan – di serata dunia.
Namun, kesan El Nino berbeza-beza dan dalam “dua keadaan,” kata seorang saintis atmosfera, Dr Marybeth Arcodia, di Universiti Colorado.
Di kawasan yang suhu paras airnya lebih hangat, di bahagian pesisiran Amerika Selatan dinamakan sebagai kejadian di Pasifik Timur. Sementara yang satu lagi, terjadi di Pasifik Tengah, dekat kawasan khatulistiwa Hawaii, adalah seperti yang terjadi baru-baru ini pada 2016.
Keadaan cuaca seperti ini boleh menjadi lebih buruk, bergantung kepada di mana kawasan yang suhu paras airnya lebih hangat, mengakibatkan terjadinya kekeringan atau lebih lembap dan basah di kawasan tertentu yang lain.
Menurut beberapa ramalan, pada musim sejuk 2023 dan 2024 ini akan terjadi bencana El Nino di Pasifik Tengah.
Tanda-tanda awal cuaca panas, kering akibat El Nino ini, mula mengancam pengeluran makanan di serata Asia, sementara para petani di Amerika pula menjangkakan hujan pada musim panas, yang akan memburukkan lagi kesan kemarau.
El Nino boleh mengakibatkan pengeluaran hasil pertanian merosot hingga 34 peratus daripada paras paling tinggi yang pernah dicatatkan di Australia.
Ia juga akan menjejas pengeluaran minyak sawit dan beras di Indonesia, Malaysia – yang membekalkan 80 peratus minyak sawit di dunia – juga Thailand.
Di India, negara yang banyak bergantung kepada hujan untuk tanaman mereka pada musim panas, kesan El Nino mungkin boleh diatasi dengan keadaan cuaca Lautan Hindi atau yang dipanggil Indian Nino, tetapi paras hujan masih di bawah paras biasa yang diharapkan di bahagian barat daya negara itu. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg