Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Elektrik dipulih ke seluruh wilayah M'sia dilanda gangguan bekalan

Jul 29, 2022 | 5:30 AM
PUSAT BEL-BELAH TERJEJAS: Imej yang tular di media sosial mengenai gangguan bekalan elektrik yang dirakam oleh pelanggan di pusat beli-belah Suria KLCC kelmarin. - Foto MWNKENOBI/TWITTER
PUSAT BEL-BELAH TERJEJAS: Imej yang tular di media sosial mengenai gangguan bekalan elektrik yang dirakam oleh pelanggan di pusat beli-belah Suria KLCC kelmarin. - Foto MWNKENOBI/TWITTER -

PETALING JAYA: Bomba Selangor menerima 11 laporan berhubung insiden terperangkap di dalam lif menyusuli gangguan bekalan elektrik yang melanda beberapa negeri di Malaysia, termasuk Selangor, kelmarin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Encik Norazam Khamis, berkata bomba menerima insiden terperangkap dalam lif dari sekitar 12.50 tengah hari hingga 1.47 petang kelmarin, membabitkan beberapa kawasan perumahan bertingkat dan pasar raya.

"Antara mangsa yang dilaporkan ialah seorang lelaki obes berusia 68 tahun dan wanita berusia 57 tahun yang mengalami masalah kesihatan. Kita bantu mereka turun dari tingkat lima sebuah klinik ekoran ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan lif tidak berfungsi," ujarnya.

Hampir seluruh negeri itu bergelap seketika ekoran beberapa kawasan berhadapan gangguan bekalan elektrik sejak 12.39 tengah hari.

Kawasan Lembah Klang dilaporkan terjejas paling teruk, melibatkan sebahagian besar Petaling Jaya, Shah Alam, Cheras, Bangi, Selayang, Cheras dan Bandar Sunway.

Beberapa negeri di Semenanjung Malaysia mengalami masalah gangguan bekalan elektrik hampir tiga jam kelmarin, hingga menyebabkan aktiviti lebih enam juta penduduk terjejas.

Wilayah dan negeri terjejas ialah Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang.

Selain kediaman bertingkat, kejadian itu menyebabkan operasi pejabat, pusat perniagaan, sekolah dan balai polis tergendala sementara waktu.

Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang juga mengalami gangguan, yang dikatakan kurang sejam sebelum keadaan kembali pulih seperti biasa.

Malaysia Airports menerusi Facebooknya memohon maaf bagi gangguan itu dan berharap penumpang bersabar.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik ke semua kawasan terjejas menjelang 3.02 petang.

Dalam satu kenyataannya, TNB berkata kebanyakan kawasan terjejas dapat dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit lepas gangguan berlaku hasil usaha berterusan pasukan teknikalnya.

Kejadian bekalan elektrik terputus semalam bukan yang pertama kali di Malaysia. Insiden serupa dilaporkan pada 1992, 1996 dan 2003. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg