Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Empat maut dalam kejadian tembakan terbaru di AS

Penyerang bunuh diri lepas serang bangunan perubatan di Oklahoma kelmarin
Jun 03, 2022 | 05:30 AM



TULSA (OKLAHOMA): Seorang lelaki bersenjatakan senapang dan pistol membunuh empat orang di dalam sebuah bangunan perubatan di Tulsa, Oklahoma, sebelum membunuh dirinya kelmarin, dalam kejadian tembakan terbaru yang menggegarkan Amerika Syarikat.



Polis tiba di Hospital St. Francis tiga minit selepas menerima panggilan mengenai tembakan pada petang hari itu, dan mengesan bunyi tembakan di tingkat dua Bangunan Natalie, kata timbalan ketua polis Tulsa, Encik Jonathan Brooks, kepada wartawan.



Pegawai polis mengesan mangsa dan suspek lima minit kemudian, kata Encik Brooks.



Respons polis kini mendapat perhatian selepas seorang remaja lelaki bersenjata membunuh 19 kanak-kanak dan dua guru di sebuah sekolah di Texas minggu lalu sedang pegawai polis menunggu di luar selama hampir sejam.



Ditanya wartawan apakah polis telah mengadakan latihan semula atau ada memikirkan tentang respons wajar bagi kejadian menembak orang awam selepas insiden tembakan di sekolah di Uvalde, Texas, itu, seorang lagi timbalan ketua polis Tulsa, Encik Eric Dalgleish, berkata:



"Saya fikir perkara itu segar dalam fikiran semua orang.



"Saya boleh berkata (polis) Tulsa ada membincangkan topik itu secara kerap. Saya amat gembira dengan apa yang kami ketahui setakat ini mengenai respons pegawai kami."



Kejadian tembakan di Tulsa adalah insiden terbaru dalam satu siri serangan tembakan yang telah mengejutkan rakyat Amerika dan mencetuskan semula perdebatan tentang kawalan senjata.



Dalam serangan tembakan di sekolah rendah di Texas pada 25 Mei itu, 19 murid maut ditembak bersama dua guru mereka.



Ia berlaku kurang dua minggu selepas satu tembakan besar-besaran di Buffalo, New York, yang menyasarkan warga Afrika Amerika dan menyebabkan 10 orang maut. Serangan itu didakwa dilakukan individu yang menggambarkan dirinya sebagai pelampau kulit putih.



Pembunuhan beramai-ramai itu adalah serangan sekolah paling serius sejak 20 kanak-kanak dan enam kakitangan terbunuh di Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut pada 2012.



Sementara itu, polis di Tulsa berkata mereka sedang berusaha menentukan identiti suspek, yang dianggarkan berusia antara 35-40 40 tahun, dan belum mempunyai butiran mengenai motifnya.



Bangunan Natalie itu menempatkan pejabat doktor dan termasuk pusat ortopedik, kata Encik Dalgleish, sambil menambah bahawa beliau percaya mangsa termasuk pekerja dan pesakit.



Rumah Putih menyatakan Presiden Joe Biden telah diberi taklimat mengenai kejadian itu dan menawarkan sokongan federal kepada pegawai negeri dan tempatan di Tulsa, sebuah bandar dengan kira-kira 411,000 penduduk yang terletak sekitar 160 kilometer ke timur laut ibu kota Oklahoma City.



Sebelum ini, di bawah tekanan agar bertindak segera selepas kejadian tembakan di Uvalde, Encik Biden berikrar akan mendesak pendekatan "lebih rasional" berhubung peraturan kawalan senjata.



"Saya bermotivasi selama ini" untuk bertindak mengawal senjata, Encik Biden memberitahu wartawan di Washington.



"Saya akan terus mendesak."



Beliau menambah: "Saya fikir keadaan sudah menjadi sangat serius hingga semua orang kini semakin rasional mengenainya. Itu harapan saya."



Sekumpulan penggubal undang-undang Amerika berusaha sepanjang hujung minggu lalu untuk mendapatkan kompromi antara parti Demokrat dan Republikan berkaitan undang-undang baru kawalan senjata.



Mereka dilaporkan memberi tumpuan pada undang-undang untuk meningkatkan had umur bagi pembelian senjata api atau membenarkan polis mengambil semula senjata api daripada orang yang dianggap berisiko - tetapi bukan larangan keseluruhan ke atas senapang berkuasa tinggi seperti senjata yang digunakan di Uvalde atau senjata yang digunakan di Buffalo. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >