ONTARIO (Canada): Empat anggota sebuah keluarga Muslim Canada yang terbunuh Ahad lalu, apabila sebuah trak pikap menaiki bebendul tepi jalan dan melanggar mereka, merupakan sasaran jenayah kebencian anti-Islam, kata polis Canada kelmarin.
"Ada bukti bahawa ini adalah tindakan yang dirancang, dan didorong oleh kebencian," kata Detektif Superintenden Paul Waight daripada jabatan polis bandar London di Ontario kepada wartawan.
"Dipercayai bahawa mangsa menjadi sasaran kerana mereka beragama Islam," kata Encik Waight.
Polis menangkap suspek penyerang, Nathaniel Veltman, 20 tahun, Ahad lalu. Traknya belok ke tepi jalan, menaiki bebendul tepi jalan, dan merempuh keluarga itu sebelum dipandu laju, kata polis, memetik saksi.
Seorang saksi, Cik Paige Martin, memberitahu wartawan sebuah trak hitam melepasi beliau dengan laju dan dan tidak mengendahkan lampu merah sedang beliau berjalan, dan kemudian beliau tiba ke tempat kejadian dan melihat kekacauan.
"Ia seperti sesuatu yang tidak pernah anda mahu lihat," katanya.
Veltman, seorang penduduk di London, 200 kilometer ke barat daya Toronto, telah didakwa dengan empat tuduhan membunuh tahap pertama dan satu tuduhan cuba membunuh.
Dia akan dihadapkan ke mahkamah esok setelah direman selepas diberkas. Veltman tidak mempunyai rekod jenayah, dan tidak diketahui sebagai anggota kumpulan kebencian, kata polis.
Dia ditangkap di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah tanpa sebarang tentangan dan memakai rompi-perisai, kata polis. Belum ada bukti dia bersubahat dengan sesiapa.
Polis belum mengeluarkan nama mangsa, tetapi London Free Press melaporkan antara yang terkorban ialah Syed Afzaal, 46 tahun; isterinya, Cik Madiha Salman, 44 tahun; anak perempuan mereka Yumnah Afzaal, 15 tahun; dan ibu Syed berusia 74 tahun yang namanya belum disahkan.
Anak lelaki mereka, Faez Afzaal, sembilan tahun, sedang dirawat di hospital bagi kecederaan serius tetapi tidak mengancam nyawa.
Serangan itu adalah yang terburuk terhadap masyarakat Islam Canada sejak seorang lelaki menembak enam anggota sebuah masjid di Quebec City pada 2017.
Mayor London Ed Holder berkata serangan itu adalah pembunuhan beramai-ramai terburuk yang pernah berlaku di kotanya.
"Kami amat bersimpati kepada keluarga ini, tiga generasi daripadanya kini meninggal dunia," kata Encik Holder kepada wartawan.
"Ini adalah tindakan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap masyarakat Islam, terhadap warga London, dan berlandaskan kebencian terkutuk."
Perdana Menteri Canada, Encik Justin Trudeau, menulis di Twitter bahawa beliau berasa gerun dengan berita itu, sambil menambah bahawa "Islamofobia tiada tempat di mana-mana masyarakat kita. Kebencian ini sungguh bahaya dan hina - dan mesti dihentikan".
Encik Waight berkata polis London sedang berunding dengan Polis Diraja Canada dan pendakwa raya mengenai kemungkinan mengenakan tuduhan pengganasan.
"Ini adalah satu serangan pengganas di tanah Canada, dan harus diperlakukan seperti itu," kata Encik Mustafa Farooq, ketua Majlis Nasional Muslim Canada.
Mayor Holder menambah: "Ada penduduk sekarang berasa sangat takut."
Dengan kira-kira 400,000 penduduk, London mempunyai masyarakat Islam besar. Menurut Encik Holder, bahasa Arab adalah bahasa kedua paling banyak digunakan selepas bahasa Inggeris di bandar itu.
Seorang jiran yang enggan memberi namanya berkata kepada Global News: "Beliau (Syed Afzaal) seorang yang selalu bersama keluarganya, sangat terlibat dalam masyarakat, seorang jemaah tetap masjid, seorang ayah sangat hebat.
"Beliau gemar berjalan bersama keluarganya. Hampir setiap petang mereka berjalan." - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg