CEBU (Filipina): Jumlah kematian akibat Taufan Kalmaegi di Filipina mencecah 66 orang termasuk enam kru helikopter tentera yang terhempas semasa ribut kuat yang menyebabkan hujan lebat dan banjir di seluruh wilayah tengah, kata para pegawai kecemasan pada 4 November.
Helikopter Huey terhempas di Agusan del Sur di pulau Mindanao ketika menjalankan operasi tindak balas bencana kemanusiaan, kata pihak tentera sambil mengesahkan enam mayat kru telah ditemui, dan siasatan sedang dijalankan.
Nahas itu berlaku sebelum tengah hari sekitar 270 kilometer dari Pulau Cebu, wilayah paling teruk terjejas yang menyaksikan 39 orang terbunuh akibat lemas atau runtuhan serpihan. Seorang dilaporkan meninggal dunia di pulau jiran Bohol.
Filipina, yang dilanda purata 20 ribut tropika setahun, sedang pulih daripada siri bencana termasuk gempa bumi dan cuaca buruk sejak beberapa bulan lalu.
Pada 26 September, ribut tropika Bualoi yang melanda Filipina telah meragut sekurang-kurangnya empat nyawa dan memaksa ratusan ribu penduduk meninggalkan rumah mereka ketika negara itu masih bergelut dengan kesan dahsyat Taufan Super Ragasa beberapa hari sebelumnya.
Menurut Pejabat Pertahanan Awam (OCD) wilayah Bicol di selatan Luzon, tiga orang maut selepas dinding rumah roboh dan pokok tumbang akibat angin kencang.
OCD turut mengesahkan seorang lagi mangsa terkorban di wilayah lain.
Taufan Super Ragasa yang melanda utara Luzon, memaksa sekolah dan pejabat pemerintah ditutup kerana ia membawa angin kencang dan hujan lebat.
Walaupun Taufan Kalmaegi secara beransur-ansur hilang kekuatannya sejak melanda pada awal 4 November dengan angin selaju 120 kilometer sejam (kph) dan tiupan angin selaju 165kph ketika ia melanda kepulauan Visayas menuju ke utara Palawan dan Laut China Selatan.
Puluhan ribu orang telah dipindahkan di seluruh wilayah Visayas, termasuk sebahagian selatan Luzon dan utara Mindanao, menjelang ribut yang menenggelamkan rumah dan menyebabkan banjir yang meluas.
Pegawai perhubungan wilayah Cebu, Cik Ainjeliz Orong, berkata jumlah korban di wilayah itu telah melonjak secara tiba-tiba, daripada tiga yang dilaporkan pada awal hari itu.
“Usaha mencari dan menyelamat diteruskan dan terdapat individu yang hilang dan tidak dapat dikenal pasti,” kata Cik Orong melalui telefon.
Namun, banjir di Bandar Cebu telah reda lewat pada 4 November tetapi bekalan elektrik masih terputus di banyak tempat dan perkhidmatan telekomunikasi terputus-putus. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg